Pages

Kelayakan Atas Kertas...

Baru-baru ini aku berkesempatan menjalani temuduga di sebuah insititusi perbankan/kewangan global yang menapak di Malaysia. Ini pun atas dasar ihsan seorang kenalan (aku refer sebagai Mr. K) yang berada di institusi tersebut. Jawatan dalam jabatan Shariah untuk operasi takaful institusi tersebut dan Mr. K merupakan seorang pegawai Shariah kanan di situ.

Sebelum interview aku pun jumpalah Mr. K nak minta tips interview, nak tahu selok belok sedikit mengenai operasi dan cara kerja. Sambil berborak-borak makan capati di kedai mamak, Mr. K buka satu cerita, pasal dia ada menolak suatu peluang untuk buat lompatan kerjaya dengan institusi yang lain. Tapi dia menolak bulat-bulat sebab HR manager yang hubungi Mr. K meragukan kelayakan Mr. K atas alasan Mr. K "tiada takhassus muamalat" (specialize/majoring dalam Islamic transaction). Seolah-olah HR manager tersebut tidak 'menghormati' atau tidak 'mengiktiraf' ijazah dimiliki oleh Mr. K. Padahal Mr. K graduan LLB dan LLB (Shariah) UIA, sama macam aku.

Selang sehari aku sempat borak dengan Tamar Jeles pasal sijil dan kelayakan ini. Tamar Jeles buka kisah dia berdepan dengan internal auditor institut dia berkhidmat sekarang ni.  Kes yang sama. Auditor tersebut seolah-olah mempersoalkan kelayakan Tamar Jeles untuk berkhidmat dalam jabatan Shariah operasi takaful,  dengan mengatakan Tamar Jeles ni tiada kelayakan dalam bidang 'muamalat'. Ini membuatkan aku melontar persoalan, apa yang HR manager dan auditor ini faham mengenai 'muamalat'. Tamar Jeles pun pemegang ijazah LLB dan LLB_S tambah Master of Comparative Laws (MCL) (kasik up sikit saham ko, haha). Tak campur dengan sijil SPM dan PMR dia yang meletup. Tu belum cerita pasal fiqh usrah, aku percaya Tamar Jeles boleh buat suatu entri panjang, haha...

Berbalik kepada isu. Untuk pengetahuan umum, sesiapa yang ambil LLB + LLB_S ni, akan wajib ambil course Fiqh Muamalat (Islamic Law of Transaction) untuk dua semester, dan subjek Usul al-Fiqh sampai 6 semester beserta subjek Islamic Law of Banking & Takaful, semuanya dalam bahasa arab. Ada dari kalangan kami yang ambil elektif atau audit subjek Islamic Banking dan Takaful dan juga Banking & Negotiable Instruments dalam bahasa Inggeris semasa LLB. Bahkan antara kursus yang ditawarkan untuk MCL juga ada Usul Al-Fiqh dan Islamic Banking & Securities. Bagi aku, kesemua di atas sudah cukup membuatkan seseorang itu berkelayakan dan ada latarbelakang 'muamalat'. Jadi pemegang ijazah LLB + LLB_S, di atas kertas, ada kelayakan dalam bidang perbankan dan takaful - iaitu bidang muamalat. Kami belajar selok belok hukum-hakam 'amali beserta dalil-dalil (Fiqh) dan pada masa yang sama kami juga ada pengetahuan soal bagaimana sesuatu hukum itu dicapai (Usul al-Fiqh).

Takkanlah HR manager dan auditor tersebut hanya menghadkan mereka-mereka yang ada diploma/ sarjana muda/ sarjana/ kedoktoran yang kelayakan mereka tertera perkataan "Muamalat" atau "Islamic Banking" sebagai layak untuk berkhidmat dalam bidang perbankan/kewangan Islam? Ini mentaliti yang kurang tepat.

Ini kerana ada golongan yang di anggap pakar dalam bidang perbankan/ kewangan Islam berlatarbelakangkan perakaunan dan Usuluddin. Tamar Jeles sudah kupas isu tersebut di SINI.

Sudah tentu di atas ini aku bercakap soal kelayakan atas kertas. Bila bicara mengenai skil-skil kerjaya seperti penguasaan Bahasa Arab /Bahasa Inggeris, skil penulisan, skil komunikasi, pengalaman dan sebagainya merupakan suatu topik yang berbeza. Mereka yang ada semua ini akan mengatasi mereka yang bersandarkan dua keping ijazah LLB + LLB_S atau apa-apa sekali ijazah pun. Tak semua perkara di ajar di universiti dan kebanyakan kita tahu 'on the job'. Teori dan praktis suatu dimensi berbeza walaupun duduk sebelah menyebelah.


Sebelum ni aku memang tak nak join banking specialize pada Islamic banking or takaful. Sebabnya aku tak mahu dilabel sebagai ustaz kerana hakikatnya aku memang bukan ustaz (atau mungkin aku kecewa sebab masa chambering dulu nak minta practice group buat Islamic banking tapi tercampak dan dicampak ke lembah korporat dan pasaran hutang & modal). Ini mentaliti masyarakat Malaysia, habis pukul rata. Sesiapa yang bekerja di mana-mana Majlis Agama akan digelar ustaz, begitu juga perihal dengan mereka yang bekerja di JAKIM atau JKSM semuanya dapat gelaran kehormat 'ustaz' walaupun hakikat pekerjaan mereka di sana ialah akauntan.

Hasil interview tu aku tak tahu, tapi macam ada gaya tak dapat, haha... Al-kisah...

Jangan Risau, Bapak Ada


PERHATIAN: Entri ini ditulis untuk komen perihal mereka yang suka bersandarkan kepada ayah/bapa/abah/papa/daddy dalam kehidupan seharian. Kalau ada yang rasa-rasa akan berkecil hati atau mual atau terasa atau bakal panas p*ngg*ng, sila baca entri lain.

Situasi 1 : Duit poket

Masa belajar, dah dapat PTPTN tapi enjoy sakan tukar HP, beli pakaian branded. Bila kawan tegur, maka jawapan diberi, "ala, nanti tak cukup duit bapak aku bagi lagi". Maka, anak itu terus berbelanja sakandan bila cukup bulan, akan telefon bapak minta subsidi.

Situasi 2 : Cari Kerja

Dah grad, anak terkial-kial buat resume, kelam kabut tak tentu hala. Prospek kerja pun tak tahu apa. Kemudian dapat talian hayat, dari bapak tercinta. "Jangan risau, ko kerja je dengan kompeni XXXXX ni, bapak ada kawan kat situ". Anak terus tersenyum. Bapak memang best.

:)

Situasi 3 : Kahwin

Dah kerja, gaji tak sampai hujung bulan dah sampai paras merbahaya. Poket makin menipis. Couple dah lama, bakal mak mertua mula bertanya. Hantaran bakal isteri yang ada degree RM10,000. Itu pun selepas diskaun 20%. Maka si anak sekali lagi menghadap ayahanda pohon perkenan bujet tambahan.

Situasi 4 : Beli Rumah

Dah kawin, mula-mula sewa rumah kawasan Seksyen 1 Wangsa Maju, flat 5 tingkat je bro, lif pun takde. Apa kelaaaaassss... Getus hati sendiri "Eksekutif muda takkan nak tinggal kawasan flat". Tapi duit takde bayar deposit rumah. Hasrat hati sampai ke pengetahuan ayahanda tercinta, sekali lagi perbendaharaan keluarga jadi taruhan.

Situasi 5 : Pergi Haji

Bapak dah register nama anak dengan Tabung Haji sejak darjah 5 lagi dan bapak masih lagi top up akaun walaupun anak dah bersusia 25 tahun.

***

Aku tak salahkan kalau golongan ayah/bapa/abah/papa/daddy yang kasihan anak-anak nak menolong anak-anak dari segi kewangan dan sebagainya, asalkan mereka cukup ikhlas dan memang mampu dan dah membuat perancangan untuk hala tuju hidup anak-anak. 


Tapi yang aku marah ni golongan anak-anak yang meminta-minta walaupun tahu ayah/bapa/abah/daddy/papa tak berapa berkemampuan. Lagi satu kalau berbekalkan mentaliti 'bapak ada' ni, sampai bila-bila seseorang tu tak akan memajukan diri sendiri dan ambil mudah untuk mencapai sesuatu.


Deyyy, usaha la sendiri.... 




Mbah Saya Yang Hebat



Kemalasan dan kekurangan nafsu untuk menulis menyebabakan aku jarang menulis dalam blog dalam tempoh dua bulan yang lepas. Sebagai azam di tengah tahun 2012, aku harap dapat menulis dengan sedikit konsisten tanpa mengira topik dan wacana.


Berbalik kepada tajuk entri kali ini. Untuk mereka yang tidak tahu, "Mbah" ni perkataan jawa yang barangkali maksudnya ibu bapa kepada ibu dan bapa kita, datuk atau nenek. Kalau datuk dirujuk sebagai Mbah Lanang dan nenek dirujuk sebagai Mbah Wedok. Dua minggu lepas (18.06.2012) aku kehilangan mbah wedok aku, yang namanya Siti Aminah, usia dlm lingkungan 72 tahun. Mbah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Taiping, kerana sakit tua. Jadi, sepanjang minggu tersebut, aku menempuh usbu' ul-huzn aku tersendiri.


Aku nak berkongsi sikit tentang mbah aku ni. Nak cerita riwayat penuh hidup mbah, aku pun tak berapa nak tahu, jadinya apa yang aku cerita ni sekadar satu perkongsian dari kaca  mata seorang cucu. Mbah ni memang orang kampung, masa mudanya potong getah. Bukan macam zaman sekarang, anak dara nak pegang pisau potong bawang pun segan silu (baca: tak tahu). Masa sihat, mbah akan bergilir-gilir ke rumah anak-anak, dan sudah tentu mbah akan meluangkan lebih masa di rumah aku, sebab ada cucu kesayangan mbah, iaitu adik-adik aku. Tak pun, adik-adik aku ni la yang mbah aku bawa ke sana ke mari. Aku pulak, masa kecik-kecik dulu selalu jadi kawan gaduh mbah, tak tahu kenapa. Sifat dan perangai budak kecik kot.


Mbah tak lokek bercerita memberi nasihat. Banyak kata-kata mbah masih terngiang-ngiang dalam benak kepala aku. Kalau arwah mak aku marah, dia akan bela. Kalau aku nak beli jajan, dia bagi duit belanja. Pagi-pagi mbah dah bangun awal, dari tikar sembahyang dia akan gerak cucu-cucu untuk solat subuh. "Mbah nangis lah kalau cucu-cucu tak bangun sembahyang" - tu antara ungkapan mbah. 


Satu kelebihan mbah ialah kemahiran dan kerajinan di dapur. Kalau di kampung, mbah sendiri masuk kebun petik pucuk paku, ambil pucuk ubi untuk masak. Paling aku suka, ikut mbah masuk kebun, ambil ubi kayu. Penuh satu guni. Buat kerepek ubi, mbah potong sendiri,goreng sendiri. memang stok kerepek ubi tu kalau orang tengok macam nak berniaga je. Tapi mbah cakap mbah buat untuk cucu-cucu makan. Sampai sekarang kerepek ubi jadi kegemaran aku. Tu belum lagi cerita bab mbah masak memasak ni, memang sedap. Kalau pagi-pagi tu dah tersedia sarapan dari pisang goreng, keledek goreng, cucok kembung (yang ni aku pernah jumpa mbah sorang je buat, kat kedai tak pernah jumpa) hatta ke roti canai.


Mbah mula sakit masa aku lepas SPM kot. Tapi awal-awal tu setakat semua sihat kecuali lutut mbah sahaja. dari sakit lutut, hinggalah tak boleh berjalan sendiri dan kemudian terlantar. Alhamdulillah semua ahli keluarga ambil inisiatif menjaga mbah, dari anak-anak hingga ke cucu-cucu. Tapi dek urusan kerja dan peribadi, waktu aku berbakti pada mbah memang sangat minima. Apa pun, suka untuk aku selitkan di sini, kepada yang membaca ni, kalau ada ruang dan kesempatan, ambil tahulah perihal pengurusan jenazah dari bab mandikan jenazah, kafan dan solat jenazah, kerana suatu hari nanti kematian itu bakal tiba kepada mereka yang dekat dengan kita.


Mbah mungkin bukan seorang jutawan, apa lagi tauke kosmetik atau sebagainya, tetapi di mata aku, mbah kekal bersemadi menjadi salah seorang insan yang mencorak hidup aku.


Allahumma Fighlaha Warhamha Wa‘Afiha Wa’fuanha...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets