Pages

PRK UIAM: Apa nak jadi


1. Penulis merupakan bekas mahasiswa lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang tergerak untuk mengulas mengenai isu pilihanraya kampus (PRK) di UIAM yang masih diselubungi dengan pelbagai tanda tanya. Walaupun sudah beberapa tahun menamatkan pengajian, penulis masih lagi mengikuti perkembangan UIAM dari semasa ke semasa.

2. Sepanjang belajar di UIAM, penulis sempat mengundi untuk PRK sebanyak empat kali melalui sistem e-voting yang menggunakan sistem komputer. Sepanjang pelaksanaan e-voting, boleh dikatakan proses pengundian PRK berjalan lancar dan lebih mudah diuruskan berbanding sistem pengundian manual.

3. E-voting sudah dilaksanakan hampir 10 tahun di UIAM. Pada mulanya, sistem e-voting mendapat bantahan majoriti mahasiswa kerana sistem ini mudah terdedah kepada unsur manipulasi dan penyelewengan, selain berisiko tinggi untuk mengalami kerosakan teknikal. Meskipun ramai mahasiswa yang skeptikal dengan ketelusan e-voting, sistem ini tetap dilaksanakan juga.

4. Pada tahun ini buat julung-julung kalinya, kesilapan teknikal yang disebut-sebut dahulu menjadi kenyataan, meskipun dari segi faktanya kesilapan-kesilapan teknikal yang didakwa itu boleh dipersoalkan. Dikhabarkan kesilapan itu berpunca daripada staf ITD yang terlupa untuk menekan butang "save" yang menyebabkan aliran pengundian menjadi berterabur. Pada jam 11.30 pagi pihak ITD telah meminta Admin menangguhkan dulu proses pengundian tetapi dengan cerdiknya Admin kata takpe proceed je dulu sambil-sambil betulkan kesilapan, kalau boleh. Akhirnya bila waktu mengundi tamat, data collection jadi berkecai. Ini sudah jadi kes masuk kereta nak sejuk lalu bukak aircond, tapi tingkap empat-empat terbukak luas, dia bukak jugak aircond sampai full, lepas tu komplen tak sejuk. Kalau versi cerita ini diterima, maknanya bukanlah kerosakan teknikal tapi KECUAIAN MANUSIA.

5. Dikhabarkan pihak yang bertanggungjawab terhadap sistem e-voting ini "bermati-matian" bersumpah untuk meyakinkan para mahasiswa bahawasanya kes ini benar-benar masalah teknikal tapi teknikalnya berpunca dari salah manusia juga. Sewajarnya pimpinan tertinggi UIAM perlu bertanggungjawab di atas "kesalahan teknikal" yang melanda sistem e-voting dan tidak hanya semata-mata menuding jari kepada sistem. Kalau sistem e-voting sebelum ini "tahan uji" selama hampir sedekad tanpa sebarang masalah dan pertikaian, bagaimana pula tiba-tiba sistem boleh disalahkan kali ini? Pentadbir UIAM jangan berselindung di sebalik sistem!

6. Walau apa pun yang telah berlaku, cadangan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM yang baru lebih menimbulkan tanda tanya. Pengundian semula secara manual merupakan solusi yang ingin kembali ke zaman batu. Apakah sistem e-voting yang digunakan selama ini memang tiba-tiba sahaja sudah tidak boleh dibaiki sama sekali atau bagaimana? Kalau dah terbukti staf ITD terlupa buat itu dan ini kenapa sistem e-voting pula hendak dimangsakan dan pengundian semula dilakukan secara manual? Apa logiknya?

7. Perlu diingat, salah satu alasan pelaksanaan e-voting dahulu ialah untuk menghapuskan kaedah pengiraan undi secara manual yang mengambil banyak masa sehingga jam 2, 3 pagi. Suasana pengiraan undi persis pilihanraya sebenar ini lazimnya mengundang bibit-bibit ketegangan di kalangan mahasiswa (para calon dan penyokong) yang "berkampung" di pusat penjumlahan undi satu ketika dahulu.

8. Jika PRK diadakan secara manual, dikhuatiri keharmonian UIAM akan tergugat dengan "kebanjiran" para mahasiswa yang ingin memberi sokongan kepada calon-calon PRK di UIAM, memandangkan kebanyakan universiti awam lain telah selesai PRK. Kaedah pengiraan juga akan jadi lebih rumit kerana melibatkan ramai tenaga kerja (yang terkena sudah tentulah para kakitangan UIAM) untuk mengira undi bagi keseluruhan 31 kerusi. Apakah para petugas PRK sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini sedangkan kali terakhir pengundian manual dijalankan ialah kira-kira 10 tahun dahulu? Apakah jaminan yang kaedah manual ini akan berjalan lancar dan tidak menimbulkan kekeliruan dan kekecohan? Penulis berasa ragu-ragu, tindakan pilihanraya semula secara manual yang akan diadakan secara ad hoc tanpa persediaan akan lebih merumitkan keadaan. Bersediakah UIAM menghadapi pengundian manual dari sudut logistik?

9. UIAM mesti mengemukakan laporan terbuka kepada umum persis "kertas putih" yang menerangkan secara terperinci apakah kesalahan-kesalahan teknikal yang dimaksudkan. UIAM juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh pelajar UIAM kerana bukan kerja para pelajar untuk mengundi sampai dua kali.

10. Jangan terlalu mudah menghentam para mahasiswa secara melulu. Kononnya terlalu beremosi, biadap dan tidak berakhlak apabila berdepan dengan pentadbir UIAM. Kalau penjelasan yang dibuat pun tak berapa masuk dek akal, takkanlah mahasiswa mahu percaya bulat-bulat? Adalah normal sikap anak muda yang terbawa-bawa dengan emosi tetapi penjelasan di pihak UIAM juga tidak meyakinkan. Secara umumnya, mahasiswa UIAM bukanlah dari kalangan mereka yang suka menyibuk tak tentu pasal dalam urusan pentadbiran UIAM. Jarang sekali kedengaran gelagat mahasiswa UIAM yang pernah 'memalukan' nama baik universiti. Kalau ada pun, sejak akhir-akhir ini dengan kes Ustaz Azhar Idrus, pembatalan sesi sembang dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, pengunduran Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan pembatalan program k-Fiqh, itu semua tidak melibatkan mahasiswa UIAM.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets