Pages

Sukarnya Menjadi Ustaz Di Mata Masyarakat

Entri aku kali ini lebih menjurus kepada persepsi masyarakat terhadap golongan ilmuan Islam, atau dalam bahasa mudahnya, golongan 'Ustaz'. Aku bagi 3 situasi:

Pertamanya, kita akan mempersoalkan kelayakan ustaz tersebut. Contohnya, jika ustaz tersebut punya degree Usuluddin, tapi kini berkecimpung dalam sektor kewangan, bahkan menjadi pakar dalam bidang tersebut, maka dari kiri kanan depan belakang ada sahaja suara-suara sumbang menyatakan bahawa ustaz ni tak layak, bukan ahli untuk bicara soal kewangan/ muamalat Islam. Mungkin mereka lupa ustaz ini ada sarjana atau PhD dalam bidang kewangan/muamalat Islam. Sebabnya, di mata umum, bila seseorang itu mengaji agama, dia di label 'Ustaz', padahal bidang agama ni luas. Ada yang khusus bahagian muamalat, ada yang bahagiah jenayah, bahagian keluarga dsb. Nak cari yang pure mujtahid tu, memang ada, walaupun jumlahnya kecil. Sedikit proviso: aku tak nafikan juga ada kalangan 'ustaz' ni yang memang bidangnya lain, tapi tiba-tiba nak terjun dalam bidang lain, dan tidak ada usaha pun nak memahirkan diri dalam bidang yang baru diceburi tersebut. Bahkan sama je dgn profession lain, terutamanya motivator - membawa 'imej' Islam, berhujah sana sini, petik sumber-sumber yang dia sendiri tak dapat bezakan mana dalil Quran, Hadis atau kata-kata 'ulama silam.

Keduanya, bila si ustaz ini memberi pendapat, penulisan atau menjawab persoalan yang dikemukakan, ada sahaja yang akan tidak berpuas hati atau sengaja pusing kata-kata si ustaz tadi untuk dijadikan isu. Paling menjengkelkan, bila ada golongan jahil memberi komen "Oo, since Ustaz cakap macam ni, yang lain boleh la ye??". Takpun ada suara-suara sumbang menyatakan "Ala, benda ni pun haram jugak, Ustaz tak cakap pun". Tak pun pertanyaan seperti "ustaz tahu ni dari mana?", "siapa guru ustaz, siapa guru kepada guru ustaz, siapa guru kepada guru kepada guru ustaz?". Kita perlu faham, bila seseorang ustaz itu menjawab atau bagi pendapat mengenai sesuatu isu, ada kalanya pendapat tersebut hanya terpakai kepada isu itu sahaja, tak bolehlah nak pukul rata. Kalau audien adalah masyarakat umum, cara memberi jawapan sudah tentu berbeza, semudah yang mungkin asalkan sampai maksud. Nanti kalau dijawab panjang lebar, dengan dalil-dalil, cara untuk sampai kepada hukum dan kaedah usul, bimbang masyarakat akan lebih terkeliru (umumnya para ustaz akan sentiasa berhujah dengan dalil).

Ketiga, Ustaz tersebut 'terbeban' dengan pelbagai soalan tambahan berdasarkan pendapat, penulisan atau jawapan kepada persoalan yang ditujukan kepada beliau. Kita ambil contoh mana-mana blog atau laman web para ustaz, di bahagian komen sahaja kadang-kadang sampai 50 orang komen. Katakan separuh (25) yang komen menujukan sekurang-kurangnya 1 soalan tambahan, bukan isu yang mudah, malahan ada yang sangat-sangat spesifik dan perlu kepada pemahan isu dan fakta yang terlibat, juga kajian menyeluruh untuk memberi hukum. Jadinya, ustaz tersebut sudah ada 25 soalan untuk dijawab, itu tak termasuk soalan-soalan lain yang dituju 'live' kepada ustaz tersebut, malahan ada yang sentiasa mendapat panggilan atau SMS bertanyakan soal hukum hakam. Tahniah kepada para ustaz yang menjawab setiap persoalan dengan teliti, tapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak sempat menjawab dek kekangan masa dan kerjaya? Adakah ustaz ini 'berdosa' mengabaikan tanggungjawab sebagai penyuluh ummah dan pembuka sinar kepada kejahilan masyarakat? Jadi terpaksalah para ustaz membuat kenyataan rasmi, "andai ada masa dan keizinan ana akan balas kepada sebarang pertanyaan".

Tiga benda di atas sekadar contoh, bagaimana golongan ustaz ini menghadapi cabaran untuk berdakwah dan berjihad di kalangan masyarakat umum. Bukan apa, supaya mata lebih celik hati lebih terbuka dalam pergaulan kita dengan golongan ustaz ni. Soal ulama/ustaz su', ustaz cari makan ni, aku tak nak cerita la. Bersepah-sepah di akhir zaman ni , yang pentingkan periuk nasi sendiri hingga sanggup menutup kebenaran. Wallahu 'a'lam.


RAMADHAN KAREEM... AHLAN WA MARHABAN

Maka sudah diumumkan 1 Ramadhan  1433H jatuh pada hari Sabtu ini (21 Julai 2012).


RAMADHAN KAREEM...

Moga dipanjangkan umur menempuh bulan berkah, rahmah dan maghfirah ini dengan jayanya. Allahumma ameen.

KAGUM DAN HORMAT KEPADA ORANG LAIN

Kali ini aku ingin bicara tentang perasaan kagum dan hormat kita terhadap sesetengah individu dan golongan, dari sudut pandang kerjaya dan profesionalisma. Aku percaya, setiap kita, sepanjang menempuh alam pekerjaan, pasti akan berjumpa dengan mereka yang akan menimbulkan rasa kekaguman serta hormat kita pada mereka.

Kekaguman dan rasa hormat itu timbul barangkali dek sifat mereka yang profesional, bijaksa, ketrampilan diri dan dari segi kelayakan.

Bagi aku sendiri, bos besar lama aku yang aku tidak mahu namakan di sini adalah salah seorang yang berjaya mengkagumkan aku. Bukan sahaja dia bercakap, malahan dia menjalankan apa yang dia cakapkan. Bukan sahaja penuh dengan idea dan inspirasi, bahkan dia memberi inspirasi dengan orang lain. Dia boleh jadi orang yang pertama sampai pejabat pukul 7 pagi, dan dia juga boleh menjadi orang yang terakhir meninggalkan pejabat lewat malam nanti.

Aku juga punya rasa hormat kepada golongan peguam yang betul-betul tahu apa yang mereka ucapkan (bukan mereka yang pandai cakap tapi kandungannya tahap sampah dan longkang). Selalunya golongan yang senior dan veteran. Yelah, dah kehidupan bergelumang dengan law siang malam pagi petang, mana tak jadi bijak pandai. Pemikiran pun kritis dan kreatif.. Ini terpakai juga kepada sesetengah hakim dalam penghakiman bertulis mereka. Kita boleh bezakan hakim mana yang buat kerja atau sekadar copy paste hujahan peguam. Memetik kata profesor aku dulu, "they breathe the law". Setiap bait patah perkataan mereka itu 'menghembuskan' undang-undang.


Aku juga pernah jumpa orang yang betul-betul ikhlas untuk membantu organisasi beliau maju. Ni semasa aku terlibat dalam suatu matter berkaitan M&A. Cerita ni agak complicated, tapi aku ringkaskan, asalkan maksud yang aku nak sampaikan tu terluah. Selalunya kalau urusan M&A akan ada legal advisers, auditors, investment bankers, tax advisers dan sudah tentu internal parties dari organisasi itu sendiri terlibat, dari CEO, CFO, pegawai undang-undang, akauntan, orang-orang dari business development dan finance.Tapi malangnya dalam kes ni, hanya CEO dan beberapa orang pegawai beliau je yang bersungguh-sungguh nak close deal, yang lain tu suam-suam kuku je bila buat kerja. Aku sendiri boleh nampak 'kesuaman' tersebut. Halfway dalam negotiation deal tu, muncul seorang pegawai, yang jawatannya aku tak berapa ketahui, sebabnya dalam formal meeting yang melibatkan golongan yang aku sebutkan tadi,  memang dia tak pernah masuk, tapi tiap kali CEO dan beberapa trusted officers beliau berjumpa kami (legal advisers), akan ada mamat ni. Nak dijadikan cerita, terkeluar dari mulut CEO tu sendiri yang mamat ni tak ada kaitang langsung dengan deal ni, tapi ditarik oleh CEO tu sendiri untuk membantu. Mamat ni ada latarbelakang law dan perakaunan. Punya la CEO tu annoyed dengan pegawai yang suam-suam kuku tadi, dia cakap kat aku dan bos aku, merujuk kepada mamat ni, bunyinya lebih kurang - "you are wasted here (merujuk kepada organisasi beliau sendiri), you know with all these people (merujuk kepada pegawai yang suam-suam kuku), you won't develop much, might as well you join them (merujuk kepada kami - lawyer)". Point aku, mamat ni sanggup buat kerja belakang tabir, yang bukan pun bidangtugas dia untuk terlibat dalam deal ni, takde pun dalam KPI dia untuk terlibat dalam M&A, tapi buat kerja tanpa sedikit pun keluhan apa lagi nak membangga diri. Kalau akulah, memang tak sanggup buat kerja sukarela. Bukan sebab apa, yang di tangan pun tak terpikul. Jadi, dari situ timbul rasa hormat terhadap mamat ni.

Sama juga rasa hormat itu timbul terhadap seorang akauntan dari sebuah firma perakaunan yang besar. Dia dah senior, tapi dia treat junior dia memang bagus, even treatment dia pada aku yang junior ni pun bagus. Sebabnya sesetengah orang ni tak layan junior lawyer, nak senyum pun susah. Tak nampak langsung bossy (seperti sesetengah bos). Bila dia bagi penerangan nampak kebijaksanaan beliau, mudah. Aku yang langsung tak tahu pasal akaun ni tiba-tiba faham akaun bila dia terangkan, haha... Tapi, client ada tak setuju dengan beberapa isu dan cara mereka dalam menangani isu tersebut bordering kepada sempadan biadap dan kurang ajar. Bayangkan, bila anda dihamburkan dengan kata-kata "you are paid to speak" atau "if you cannot do this, we can give this job to other firm". Aku sendiri tak puas hati. Come on la, dia ni akauntan, bijak pandai kot, bukannya pelac*r yang client boleh hambur tak tentu pasal. Tapi reaksi akauntan ni cool je, tak pulak nak tinggi suara, takde nak melawan tak tentu pasal. Dia terangkan dan terus bagi penerangan beserta sebab dan musabab. Bertambah hormat aku pada dia.

Itu jela sebahagian cerita yang aku ingat dan yang aku nak kongsikan. Macam aku cakap, cerita tentang kekaguman dan perasaan kehormatan itu hanyalah pada etika kerja, profesionalisma dan karisma mereka. Aku bukan cerita bab sahsiah atau peribadi. Sebabnya, tak guna kalau hebat dalam kerjaya tapi akhlaq, moral, karakter 'zero. Sebagai contoh, akauntan yang aku cerita tadi yang tenang dan bijaksana dalam menangani karenah pelanggan, tapi bila masuk tandas, kencing berdiri. Alahai, dalam hati aku cakap "sia-sia aku 'respect' ko selama ni, tapi kencing berdiri jugak".

So kalau kerjaya tip top, akhlaq jugak mesti chantekkkkk... Baru la menimbulkan perasaan kagum dan hormat malahan gerun baik di kalangan kawan atau lawan.

ULAT & KULAT - XPDC


Sebagai seorang peminat (tak berapa nak) tegar rock kapak sekitar usia 15 tahun ketika meniti PMR, aku dan rakan-rakan seringkali melayan lagu-lagu dendangan XPDC.   Lagu-lagu ‘Semangat Yang Hilang’, ‘Titian Perjalanan’, ‘C.I.N.T.A.’,  ‘Apa Nak Dikata’ antara yang menjadi pilihan. Samada Mael atau  Ali, tetap layan.

Dalam banyak-banyak lagu XPDC, ada 1 lagu yang susunatur lirik dan komposisi muziknya boleh tahan, tapi mungkin ramai yang tidak tahu dan/atau tidak pernah dengar.  Lagu bertajuk ‘Ulat & Kulat’, liriknya seperti berikut: -

Berulat berkulat
Oh mata kaum kerabat

Kau ikat kau sekat
Kau suka semangat daulat

Bagaikan kami
Tak tahu
Bagaikan kami
Tak mampu

Bezakan intan
Dan kaca
Bezakan batu
Dan tanah
Kekal... singgah

Pulanglah puaka
Ke dalam perut
Pawaka
Pulanglah
Puaka
Kau diam
Lestari sana

Dah putih nak putih lagi
Dah hitam nak hitam lagi
Dah punah nak lagi
Punahkan apa lagi

Siapa kau siapa kami
Nak minta tumpang lalu
Nak kena tabik dulu

Berulat berkulat
Siapa kau aku nak tongkat
Nak angkat

Kalau dihayati memang mendalam maksud lagu ni, penulis lirik meluahkan perasaan tidak puas hati kepada golongan yang tertentu. Penggunaan bahasa yang agak mudah, penuh dengan maksud yang tersirat.  Tapi aku tanak la cerita panjang, pandai-pandai korang tafsirkan. Sekian.

Nota kaki: menuju usia lewat 20an, aku kini lebih cenderung mendengar lagu-lagu dendangan Anuar Zain.. Auuwww… Kah kah kah…

Kelayakan Atas Kertas...

Baru-baru ini aku berkesempatan menjalani temuduga di sebuah insititusi perbankan/kewangan global yang menapak di Malaysia. Ini pun atas dasar ihsan seorang kenalan (aku refer sebagai Mr. K) yang berada di institusi tersebut. Jawatan dalam jabatan Shariah untuk operasi takaful institusi tersebut dan Mr. K merupakan seorang pegawai Shariah kanan di situ.

Sebelum interview aku pun jumpalah Mr. K nak minta tips interview, nak tahu selok belok sedikit mengenai operasi dan cara kerja. Sambil berborak-borak makan capati di kedai mamak, Mr. K buka satu cerita, pasal dia ada menolak suatu peluang untuk buat lompatan kerjaya dengan institusi yang lain. Tapi dia menolak bulat-bulat sebab HR manager yang hubungi Mr. K meragukan kelayakan Mr. K atas alasan Mr. K "tiada takhassus muamalat" (specialize/majoring dalam Islamic transaction). Seolah-olah HR manager tersebut tidak 'menghormati' atau tidak 'mengiktiraf' ijazah dimiliki oleh Mr. K. Padahal Mr. K graduan LLB dan LLB (Shariah) UIA, sama macam aku.

Selang sehari aku sempat borak dengan Tamar Jeles pasal sijil dan kelayakan ini. Tamar Jeles buka kisah dia berdepan dengan internal auditor institut dia berkhidmat sekarang ni.  Kes yang sama. Auditor tersebut seolah-olah mempersoalkan kelayakan Tamar Jeles untuk berkhidmat dalam jabatan Shariah operasi takaful,  dengan mengatakan Tamar Jeles ni tiada kelayakan dalam bidang 'muamalat'. Ini membuatkan aku melontar persoalan, apa yang HR manager dan auditor ini faham mengenai 'muamalat'. Tamar Jeles pun pemegang ijazah LLB dan LLB_S tambah Master of Comparative Laws (MCL) (kasik up sikit saham ko, haha). Tak campur dengan sijil SPM dan PMR dia yang meletup. Tu belum cerita pasal fiqh usrah, aku percaya Tamar Jeles boleh buat suatu entri panjang, haha...

Berbalik kepada isu. Untuk pengetahuan umum, sesiapa yang ambil LLB + LLB_S ni, akan wajib ambil course Fiqh Muamalat (Islamic Law of Transaction) untuk dua semester, dan subjek Usul al-Fiqh sampai 6 semester beserta subjek Islamic Law of Banking & Takaful, semuanya dalam bahasa arab. Ada dari kalangan kami yang ambil elektif atau audit subjek Islamic Banking dan Takaful dan juga Banking & Negotiable Instruments dalam bahasa Inggeris semasa LLB. Bahkan antara kursus yang ditawarkan untuk MCL juga ada Usul Al-Fiqh dan Islamic Banking & Securities. Bagi aku, kesemua di atas sudah cukup membuatkan seseorang itu berkelayakan dan ada latarbelakang 'muamalat'. Jadi pemegang ijazah LLB + LLB_S, di atas kertas, ada kelayakan dalam bidang perbankan dan takaful - iaitu bidang muamalat. Kami belajar selok belok hukum-hakam 'amali beserta dalil-dalil (Fiqh) dan pada masa yang sama kami juga ada pengetahuan soal bagaimana sesuatu hukum itu dicapai (Usul al-Fiqh).

Takkanlah HR manager dan auditor tersebut hanya menghadkan mereka-mereka yang ada diploma/ sarjana muda/ sarjana/ kedoktoran yang kelayakan mereka tertera perkataan "Muamalat" atau "Islamic Banking" sebagai layak untuk berkhidmat dalam bidang perbankan/kewangan Islam? Ini mentaliti yang kurang tepat.

Ini kerana ada golongan yang di anggap pakar dalam bidang perbankan/ kewangan Islam berlatarbelakangkan perakaunan dan Usuluddin. Tamar Jeles sudah kupas isu tersebut di SINI.

Sudah tentu di atas ini aku bercakap soal kelayakan atas kertas. Bila bicara mengenai skil-skil kerjaya seperti penguasaan Bahasa Arab /Bahasa Inggeris, skil penulisan, skil komunikasi, pengalaman dan sebagainya merupakan suatu topik yang berbeza. Mereka yang ada semua ini akan mengatasi mereka yang bersandarkan dua keping ijazah LLB + LLB_S atau apa-apa sekali ijazah pun. Tak semua perkara di ajar di universiti dan kebanyakan kita tahu 'on the job'. Teori dan praktis suatu dimensi berbeza walaupun duduk sebelah menyebelah.


Sebelum ni aku memang tak nak join banking specialize pada Islamic banking or takaful. Sebabnya aku tak mahu dilabel sebagai ustaz kerana hakikatnya aku memang bukan ustaz (atau mungkin aku kecewa sebab masa chambering dulu nak minta practice group buat Islamic banking tapi tercampak dan dicampak ke lembah korporat dan pasaran hutang & modal). Ini mentaliti masyarakat Malaysia, habis pukul rata. Sesiapa yang bekerja di mana-mana Majlis Agama akan digelar ustaz, begitu juga perihal dengan mereka yang bekerja di JAKIM atau JKSM semuanya dapat gelaran kehormat 'ustaz' walaupun hakikat pekerjaan mereka di sana ialah akauntan.

Hasil interview tu aku tak tahu, tapi macam ada gaya tak dapat, haha... Al-kisah...

Jangan Risau, Bapak Ada


PERHATIAN: Entri ini ditulis untuk komen perihal mereka yang suka bersandarkan kepada ayah/bapa/abah/papa/daddy dalam kehidupan seharian. Kalau ada yang rasa-rasa akan berkecil hati atau mual atau terasa atau bakal panas p*ngg*ng, sila baca entri lain.

Situasi 1 : Duit poket

Masa belajar, dah dapat PTPTN tapi enjoy sakan tukar HP, beli pakaian branded. Bila kawan tegur, maka jawapan diberi, "ala, nanti tak cukup duit bapak aku bagi lagi". Maka, anak itu terus berbelanja sakandan bila cukup bulan, akan telefon bapak minta subsidi.

Situasi 2 : Cari Kerja

Dah grad, anak terkial-kial buat resume, kelam kabut tak tentu hala. Prospek kerja pun tak tahu apa. Kemudian dapat talian hayat, dari bapak tercinta. "Jangan risau, ko kerja je dengan kompeni XXXXX ni, bapak ada kawan kat situ". Anak terus tersenyum. Bapak memang best.

:)

Situasi 3 : Kahwin

Dah kerja, gaji tak sampai hujung bulan dah sampai paras merbahaya. Poket makin menipis. Couple dah lama, bakal mak mertua mula bertanya. Hantaran bakal isteri yang ada degree RM10,000. Itu pun selepas diskaun 20%. Maka si anak sekali lagi menghadap ayahanda pohon perkenan bujet tambahan.

Situasi 4 : Beli Rumah

Dah kawin, mula-mula sewa rumah kawasan Seksyen 1 Wangsa Maju, flat 5 tingkat je bro, lif pun takde. Apa kelaaaaassss... Getus hati sendiri "Eksekutif muda takkan nak tinggal kawasan flat". Tapi duit takde bayar deposit rumah. Hasrat hati sampai ke pengetahuan ayahanda tercinta, sekali lagi perbendaharaan keluarga jadi taruhan.

Situasi 5 : Pergi Haji

Bapak dah register nama anak dengan Tabung Haji sejak darjah 5 lagi dan bapak masih lagi top up akaun walaupun anak dah bersusia 25 tahun.

***

Aku tak salahkan kalau golongan ayah/bapa/abah/papa/daddy yang kasihan anak-anak nak menolong anak-anak dari segi kewangan dan sebagainya, asalkan mereka cukup ikhlas dan memang mampu dan dah membuat perancangan untuk hala tuju hidup anak-anak. 


Tapi yang aku marah ni golongan anak-anak yang meminta-minta walaupun tahu ayah/bapa/abah/daddy/papa tak berapa berkemampuan. Lagi satu kalau berbekalkan mentaliti 'bapak ada' ni, sampai bila-bila seseorang tu tak akan memajukan diri sendiri dan ambil mudah untuk mencapai sesuatu.


Deyyy, usaha la sendiri.... 




Mbah Saya Yang Hebat



Kemalasan dan kekurangan nafsu untuk menulis menyebabakan aku jarang menulis dalam blog dalam tempoh dua bulan yang lepas. Sebagai azam di tengah tahun 2012, aku harap dapat menulis dengan sedikit konsisten tanpa mengira topik dan wacana.


Berbalik kepada tajuk entri kali ini. Untuk mereka yang tidak tahu, "Mbah" ni perkataan jawa yang barangkali maksudnya ibu bapa kepada ibu dan bapa kita, datuk atau nenek. Kalau datuk dirujuk sebagai Mbah Lanang dan nenek dirujuk sebagai Mbah Wedok. Dua minggu lepas (18.06.2012) aku kehilangan mbah wedok aku, yang namanya Siti Aminah, usia dlm lingkungan 72 tahun. Mbah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Taiping, kerana sakit tua. Jadi, sepanjang minggu tersebut, aku menempuh usbu' ul-huzn aku tersendiri.


Aku nak berkongsi sikit tentang mbah aku ni. Nak cerita riwayat penuh hidup mbah, aku pun tak berapa nak tahu, jadinya apa yang aku cerita ni sekadar satu perkongsian dari kaca  mata seorang cucu. Mbah ni memang orang kampung, masa mudanya potong getah. Bukan macam zaman sekarang, anak dara nak pegang pisau potong bawang pun segan silu (baca: tak tahu). Masa sihat, mbah akan bergilir-gilir ke rumah anak-anak, dan sudah tentu mbah akan meluangkan lebih masa di rumah aku, sebab ada cucu kesayangan mbah, iaitu adik-adik aku. Tak pun, adik-adik aku ni la yang mbah aku bawa ke sana ke mari. Aku pulak, masa kecik-kecik dulu selalu jadi kawan gaduh mbah, tak tahu kenapa. Sifat dan perangai budak kecik kot.


Mbah tak lokek bercerita memberi nasihat. Banyak kata-kata mbah masih terngiang-ngiang dalam benak kepala aku. Kalau arwah mak aku marah, dia akan bela. Kalau aku nak beli jajan, dia bagi duit belanja. Pagi-pagi mbah dah bangun awal, dari tikar sembahyang dia akan gerak cucu-cucu untuk solat subuh. "Mbah nangis lah kalau cucu-cucu tak bangun sembahyang" - tu antara ungkapan mbah. 


Satu kelebihan mbah ialah kemahiran dan kerajinan di dapur. Kalau di kampung, mbah sendiri masuk kebun petik pucuk paku, ambil pucuk ubi untuk masak. Paling aku suka, ikut mbah masuk kebun, ambil ubi kayu. Penuh satu guni. Buat kerepek ubi, mbah potong sendiri,goreng sendiri. memang stok kerepek ubi tu kalau orang tengok macam nak berniaga je. Tapi mbah cakap mbah buat untuk cucu-cucu makan. Sampai sekarang kerepek ubi jadi kegemaran aku. Tu belum lagi cerita bab mbah masak memasak ni, memang sedap. Kalau pagi-pagi tu dah tersedia sarapan dari pisang goreng, keledek goreng, cucok kembung (yang ni aku pernah jumpa mbah sorang je buat, kat kedai tak pernah jumpa) hatta ke roti canai.


Mbah mula sakit masa aku lepas SPM kot. Tapi awal-awal tu setakat semua sihat kecuali lutut mbah sahaja. dari sakit lutut, hinggalah tak boleh berjalan sendiri dan kemudian terlantar. Alhamdulillah semua ahli keluarga ambil inisiatif menjaga mbah, dari anak-anak hingga ke cucu-cucu. Tapi dek urusan kerja dan peribadi, waktu aku berbakti pada mbah memang sangat minima. Apa pun, suka untuk aku selitkan di sini, kepada yang membaca ni, kalau ada ruang dan kesempatan, ambil tahulah perihal pengurusan jenazah dari bab mandikan jenazah, kafan dan solat jenazah, kerana suatu hari nanti kematian itu bakal tiba kepada mereka yang dekat dengan kita.


Mbah mungkin bukan seorang jutawan, apa lagi tauke kosmetik atau sebagainya, tetapi di mata aku, mbah kekal bersemadi menjadi salah seorang insan yang mencorak hidup aku.


Allahumma Fighlaha Warhamha Wa‘Afiha Wa’fuanha...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets