Pages

Mbah Saya Yang Hebat



Kemalasan dan kekurangan nafsu untuk menulis menyebabakan aku jarang menulis dalam blog dalam tempoh dua bulan yang lepas. Sebagai azam di tengah tahun 2012, aku harap dapat menulis dengan sedikit konsisten tanpa mengira topik dan wacana.


Berbalik kepada tajuk entri kali ini. Untuk mereka yang tidak tahu, "Mbah" ni perkataan jawa yang barangkali maksudnya ibu bapa kepada ibu dan bapa kita, datuk atau nenek. Kalau datuk dirujuk sebagai Mbah Lanang dan nenek dirujuk sebagai Mbah Wedok. Dua minggu lepas (18.06.2012) aku kehilangan mbah wedok aku, yang namanya Siti Aminah, usia dlm lingkungan 72 tahun. Mbah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Taiping, kerana sakit tua. Jadi, sepanjang minggu tersebut, aku menempuh usbu' ul-huzn aku tersendiri.


Aku nak berkongsi sikit tentang mbah aku ni. Nak cerita riwayat penuh hidup mbah, aku pun tak berapa nak tahu, jadinya apa yang aku cerita ni sekadar satu perkongsian dari kaca  mata seorang cucu. Mbah ni memang orang kampung, masa mudanya potong getah. Bukan macam zaman sekarang, anak dara nak pegang pisau potong bawang pun segan silu (baca: tak tahu). Masa sihat, mbah akan bergilir-gilir ke rumah anak-anak, dan sudah tentu mbah akan meluangkan lebih masa di rumah aku, sebab ada cucu kesayangan mbah, iaitu adik-adik aku. Tak pun, adik-adik aku ni la yang mbah aku bawa ke sana ke mari. Aku pulak, masa kecik-kecik dulu selalu jadi kawan gaduh mbah, tak tahu kenapa. Sifat dan perangai budak kecik kot.


Mbah tak lokek bercerita memberi nasihat. Banyak kata-kata mbah masih terngiang-ngiang dalam benak kepala aku. Kalau arwah mak aku marah, dia akan bela. Kalau aku nak beli jajan, dia bagi duit belanja. Pagi-pagi mbah dah bangun awal, dari tikar sembahyang dia akan gerak cucu-cucu untuk solat subuh. "Mbah nangis lah kalau cucu-cucu tak bangun sembahyang" - tu antara ungkapan mbah. 


Satu kelebihan mbah ialah kemahiran dan kerajinan di dapur. Kalau di kampung, mbah sendiri masuk kebun petik pucuk paku, ambil pucuk ubi untuk masak. Paling aku suka, ikut mbah masuk kebun, ambil ubi kayu. Penuh satu guni. Buat kerepek ubi, mbah potong sendiri,goreng sendiri. memang stok kerepek ubi tu kalau orang tengok macam nak berniaga je. Tapi mbah cakap mbah buat untuk cucu-cucu makan. Sampai sekarang kerepek ubi jadi kegemaran aku. Tu belum lagi cerita bab mbah masak memasak ni, memang sedap. Kalau pagi-pagi tu dah tersedia sarapan dari pisang goreng, keledek goreng, cucok kembung (yang ni aku pernah jumpa mbah sorang je buat, kat kedai tak pernah jumpa) hatta ke roti canai.


Mbah mula sakit masa aku lepas SPM kot. Tapi awal-awal tu setakat semua sihat kecuali lutut mbah sahaja. dari sakit lutut, hinggalah tak boleh berjalan sendiri dan kemudian terlantar. Alhamdulillah semua ahli keluarga ambil inisiatif menjaga mbah, dari anak-anak hingga ke cucu-cucu. Tapi dek urusan kerja dan peribadi, waktu aku berbakti pada mbah memang sangat minima. Apa pun, suka untuk aku selitkan di sini, kepada yang membaca ni, kalau ada ruang dan kesempatan, ambil tahulah perihal pengurusan jenazah dari bab mandikan jenazah, kafan dan solat jenazah, kerana suatu hari nanti kematian itu bakal tiba kepada mereka yang dekat dengan kita.


Mbah mungkin bukan seorang jutawan, apa lagi tauke kosmetik atau sebagainya, tetapi di mata aku, mbah kekal bersemadi menjadi salah seorang insan yang mencorak hidup aku.


Allahumma Fighlaha Warhamha Wa‘Afiha Wa’fuanha...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets