Pembuka Kata
Semenjak perhimpunan BERSIH 3.0 April lepas, salah satu nama yang mencetuskan kontroversi dan menjadi tumpuan lensa kamera dan perhatian media selain dari senaman punggung dan jualan burger - iaitu Bar Council dan/atau Malaysian Bar. Dikatakan badan peguam ini tidak professional, partisan dan berat sebelah dalam menyediakan laporan berkaitan perhimpunan BERSIH 3.0 (laporan penuh di SINI). Seterusnya badan peguam ini juga dituduh telah bertukar fungsinya menjadi sebuah parti politik dan akibatnya semakin hilang integriti. Badan peguam ini juga digesa untuk berdaftar sebagai parti politik, malahan sebahagian ahli Majlis Peguam dicabar untuk bertanding dalam pilihanraya. Malah ada suara-suara sumbang menyarankan agar Bar Council/Malaysian Bar dibubarkan.
Bar Council atau Malaysian Bar?
Kita mulakan dengan apa perbezaan Bar Council (Majlis Peguam) dan Malaysian Bar (Badan Peguam Malaysia). Secara umumnya aku lihat ramai yang terkeliru atau tidak faham beza kedua badan ini. Hakikatnya, Bar Council/Malaysian Bar bukanlah sebuah kelab syok sendiri atau sebuah persatuan atau pertubuhan apa lagi sebuah badan amal.
Malaysian Bar merupakan sebuah badan korporat yang ditubuhkan melalui Seksyen 41 Akta Profession Undang-Undang 1976 (LPA). Seksyen 42 menggariskan beberapa objek dan kuasa Malaysian Bar. Yang popular dan selalu dicanangkan oleh Malaysian Bar dan para individu dalam amalan guaman ialah "to uphold the cause of justice withour regard to its interest or that of its members, uninfluenced by fear or favour". Ini suatu klausa yang sangat berkuasa dan umum, kerana proses menegakkan keadilan itu adalah sangat luas, ini termasuklah menjaga keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
LPA juga menggariskan bahawa setiap peguambela dan peguamcara yang mempunyai sijil amalan tahunan yang sah, secara automatik menjadi ahli Malaysian Bar.
Bar Council pula ditubuhkan melalui Seksyen 47 LPA, untuk memastikan kelancaran pentadbiran dan pengurusan Malaysian Bar serta memastikan Malaysian Bar menjalankan fungsinya dengan baik. Ahli Bar Council ini bukanlah dilantik (appointed), tetapi dipilih (elected) oleh melalui proses pemilihan berdasarkan kriteria tertentu. Oleh sebab penulisan kali ini bukan secara khusus mengkaji proses, prosedur fungsi dan kuasa Malaysian Bar/Bar Council, maka aku tinggalkan setakat ini sahaja.
Dalam perumpaan lain, Malaysian Bar ini ibarat seperti sebuah kerajaan, dan Bar Council itu jemaah menteri. Jika tidak faham lagi, perumpamaan lain ialah Malaysian Bar itu sebuah syarikat, dan Bar Council itu ahli lembaga pengarah.
Mereka yang duduk di dalam Bar Council inilah yang akan menentu hala tuju dan pendirian Malaysian Bar. Mereka inilah yang akan membuat ketetapan atau pendirian samada untuk menyokong terhadap sesuatu isu. Kepada para peguam di luar sana yang ada aspirasi untuk terlibat dalam Bar Council, silalah calonkan diri untuk pemilihan ahli dan jangan senyap menyepi.
Laporan BERSIH 3.0 oleh Malaysian Bar
Bagi aku, laporan ini memang tidak menepati sebuah laporan yang penuh. Sebabnya, tidak dinyatakan tujuan laporan atau apakah objektif laporan. Laporan ini juga hilang arah tuju kerana tidak ada permulaan yang baik, tidak ada flow dalam pengisian apa lagi penutup yang bernas. Ia diolah lebih kepada penceritaan atau pengalaman para peguam pemerhati, serta disulami dengan beberapa undang-undang dan garispanduan antarabangsa berkaitan menjaga keamanan, hak asasi dan dalam menangani perhimpunan.
Apa pun, sekalung tahniah kepada Malaysian Bar yang cuba mengeluarkan laporan ini, disebalik kekurangan yang aku senaraikan tadi. Mungkin jika blogger menceritakan pengalaman peribadi sewaktu BERSIH 3.0 tidak membawa apa-apa makna, tetapi jika sebuah badan guaman yang mengketengahkan sesuatu isu, ia membawa bersama kredibiliti (walaupun sedikit).
Tajuk laporan pun "Final Report of the Malaysian Bar on BERSIH 3.0 rally held on 28 April 2012 in Kuala Lumpur", sudah tentu akan merujuk kepada apa yang berlaku ketika perhimpunan berlangsung. Dan memang betul gas pemedih mata dilepaskan, ada insiden baling botol dari kalangan demonstran, ada insiden polis menggunakan kekerasan melampau dalam menahan demonstran, laluan keluar dari kawasan berhimpun dihalang dan sebagainya. Semuanya dinyatakan dalam laporan tersebut. Apa yang cuba disampaikan dalam laporan tersebut ialah, cuba menghubungkait kolerasi antara apa yang berlaku semasa kejadian dengan apa yang termaktub oleh undang-undang dan garispanduan antarabangsa.
Badan Bebas
Hasil dari laporan di atas, Majlis Peguam/Malaysian Bar dituduh sebagai partisan dan tidak professional serta berat sebelah. Malah cabaran Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya beberapa individu dalam Bar Council untuk bertanding dalam pilihanraya merupakan suatu kenyataan yang langsung tidak berkait dengan isu. Mungkin beliau membuat kenyataan tersebuat atas kapasiti ahli politik bukan atas kapasiti menteri yang menjaga hal ehwal perundangan.
Laporan SUHAKAM berkaitan BERSIH 2.0 juga menunding jari kepada polis menggunakan kekerasan melampau dalam menangani pehimpunan BERSIH 2.0. Jadi adakah kerajaan atau masyarakat umum mengatakan SUHAKAM juga berat sebelah? Apa respon pihak berkuasa terhadap syor atau saranan SUHAKAM?
Adil bukanlah semata-mata sama rata, tapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bebas bukan bermakna tidak perlu ada pendirian, kerana itu namanya atas pagar. Bebas, antara lainnya membawa maksud boleh menjalankan tanggungjawab dan fungsi serta amanah dengan tatacara yang ditetapkan sendiri tanpa ada campur tangan oleh pihak luar, untuk membuat keputusan tanpa perlu mengambil kira kepentingan sesuatu pihak atau takutkan suatu pihak yang lain pada sudut yang lain. Akhirnya, kebenaran itu yang perlu dizahirkan, walaupun kebenaran ada kalanya pahit dan memakan diri.
Kes Saman Bar Council
Seorang peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengambil inisiatif untuk menyaman Bar Council, antara lainnya untuk mendapat deklarasi bahawa Mesyuarat Agung Luarbiasa adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak patuh pada beberapa prosedur untuk menjalankan Mesyuarat Agung Luarbiasa. Ini termasuklah notis yang tidak sempurna, wujudnya 'pengundi hantu' semasa Mesyuarat Agung Luarbiasa.
Aku malas ulas dan komen lebih-lebih kerana tak mahu prejudis kes yang sudah masuk mahkamah (sakit perut tahan gelak sebab guna alasan cikai bernilai sepuluh sen ini). Secara peribadi dan mengikut pengamatan aku terhadap Mohd Khairul Azam Abdul Aziz melalui wawancara dan penampilan beliau di kaca TV (rancangan Soal Jawab TV3), aku kurang bersetuju dengan hujah dan pendapat beliau (komen beliau terhadap Bar Council/Malaysian Bar) yang nampak dangkal dan selektif.
Akademi Undang-Undang
Rentetatan isu dan kemelut dan ketidakpuasan hati terhadap tindakan Bar Council/Malaysian Bar maka Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz suatu idea untuk menubuhkan sebuah Akademi Undang-Undang, sebuah badan yang akan memayungi mereka yang punya latar belakang pendidikan undang-undang, ini termasuklah penasihat undang-undang syarikat, para pensyarah undang-undang, bekas hakim dan lain-lain. Adakah ini akan menjadi alternatif kepada Malaysian Bar? Apakah kuasa dan fungsi Akademi Undang-Undang ini? itu kita tunggu dan lihat.
Menjadi trend semasa untuk menubuhkan organisasi dan persatuan kala ini. Malaysia sudah ada TIBAI, IKHLAS serta pelbagai gabungan haram lain. Haram kerana mereka ini tidak berdaftar. Aku sendiri terfikir untuk menubuhkan persatuan bekas pengamal undang-undang (PBP-UU). Tujuan utama PBP-UU ialah untuk memperjuangkan nasib para peguam yang kerja tungkus lumus balik lewat malam dan untuk memastikan gaji minima chambering student ialah RM1,500 serta gaji minima peguam muda ialah RM3,000. kah kah kah...
Tetapi menubuhkan suatu badan alternatif semata-mata badan sedia ada itu dituduh atau dilihat tidak bebas atau partisan sangatlah tidak adil.
Hala Tuju
Sudah tentu masih ada ruang untuk Bar Council dan/atau Malaysian Bar untuk memperbaiki mutu dan tahap perkhidmatan dan profesionalisma mereka. Tidak semua yang diperjuangkan Bar Council adalah dipersetujui oleh semua pengamal undang-undang, lebih-lebih lagi berkaitan kebebasan beragama, pemansuhan hukuman mati dan lain-lain lagi yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Jadi, bebanan berpindah kepada mereka yang suci hati untuk merubah dan mentransformasi imej dan pendirian Bar Council/Malaysian Bar yang bukan sahaja patuh Shari'ah, malah rasional dan tuntas tanpa berasa takut atau berat sebelah. Sampai bila kita nak petik nama Dato' Haji Sulaiman, Khutubul Zaman, Zainur Zakaria atau arwah Raja Aziz Addruse atau Puan Hendon sebagai malay lawyer, muslim lawyer?
0 comments:
Post a Comment