Pages

Datuk Yusof, Anwar Ibrahim, Liwat, Bersih dan Teksi

Mukaddimah

Bekas peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mengejutkan negara dengan menyertai pasukan peguambela Anwar Ibrahim dalam perbicaraan menghadapi tuduhan mengambil bahagian dalam protes jalanan, di bawah Akta Perhimpunan Aman. Datuk Yusof merupakan ketua pendakwa dalam kes sodomi II melibatkan Anwar. Lawan kini jadi kawan?

Untuk makluman, peguamcara II merupakan orang ketiga dalam hiraki Pejabat Peguam Negara (AGC), selepas Peguam Negara dan Peguamcara I. Tapi sekarang ini, struktur sudah berubah. Sekarang ada Peguam Negara, seorang Peguamcara dan tiga orang Timbalan Peguamcara. Setiap Timbalan Peguamcara akan menyelia divisyen tertentu dalam AGC.


Teori dan Konspirasi

Disebabkan Datuk Yusof mewakili Anwar dalam kes pendakwaan berkaitan Bersih 3.0, timbul pelbagai teori. Ada cakap-cakap mengatakan beliau memang tidak 'ngam' dengan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, iaitu bekas boss beliau. Ada yang cakap beliau akan menyertai PAS.

Lebih teruk, ada yang menuding jari bahawa kes sodomi II Anwar telah dikompromi dari awal lagi dan diprejudis oleh Datuk Yusof. Datuk Yusof 'musuh dalam selimut'!!!! Sodomi II tu patut dibuang dalam tong sampah lama dahulu lagi.

Sebenarnya, memang ramai mereka yang dari AGC keluar dari perkhidmatan awam dan beramal sebagai peguambela dan peguamcara - tidak kira yang senior atau yang junior (apatah lagi sekarang ini, setahun berkhidmat sudah boleh petisyen untuk penerimaan masuk sebagai peguam). Faktor gaji, kenaikan pangkat, skop kerja, pembangunan karier adalah antara faktor-faktor mereka keluar dari perkhidmatan. Sudah tentu bila mereka-mereka ini beramal sebagai peguam, mereka akan menjadi 'lawan' kepada pendakwaraya dan/atau peguam persekutuan dari AGC. Antara nama-nama besar yang meninggalkan AGC ialah Salehuddin Saidin dan Shafee Abdullah juga seorang kenalan bernama Kapal.

Dari sudut yang berlainan, ramai juga peguam yang menyertai AGC dan bidang kehakiman. Mereka ini berkhidmat sebagai pendakwaraya, peguam persekutuan, majistret, pesuruhjaya kehakiman dan sebagainya. Tun Zaki (bekas ketua hakim negara merupakan seorang peguam sebelum dilantik menjadi dan beliau dilabel sebagai 'lawyer UMNO') merupakan contoh paling baik. Juga ada Gopal Sri Ram, Arif Yusof, Mah Weng Kwai, Hamid Sultan. 

Samada mereka-mereka ini partisan, tidak adil, pro mana-mana parti politik, kita perlu analisa satu persatu dan setiap individu sudah tentu berbeza prinsipnya.

Cab-Rank-Rule

Datuk Yusof cakap pasukan Anwar call beliau sehari sebelum hari pertuduhan dan sebab beliau ada masa, beliau buat keputusan untuk wakili Anwar. Secara umumnya, seorang peguam mestilah mengambil, menerima dan memberi  khidmat guaman kepada mereka yang datang kepada mereka, jika mereka mampu dan layak untuk memberi khidmat nasihat dalam bidang yang diperlukan. Ini dikenali sebagai cab-rank-rule, suatu konsep perundangan berasal dari UK (debat dan hujah soal hukum mewakili penjenayah, soal hukum menyembunyikan fakta, soal relevan atau tidak cab-rank-rule ini dan soal-soal etika yang lain tidak jadi fokus penulisan kali ini). Kenapa diibaratkan cab-rank-rule? Sebabnya mudah, jika ada barisan penumpang, pemandu teksi akan mengambil penumpang yang berada dibarisan paling hadapan, dan tidak memilih penumpang yang kedua atau yang ketiga. 

Konsep ini telah diterima pakai di Malaysia melalui Legal Profession (Practice & Etiquette) Rules 1978:-

An advocate and solicitor SHALL give advice on or accept any brief in the Courts in which he professes to practise AT the proper profesional fee dependent on the length and difficulty of the case, BUT special circumstances may justify his refusal, at his discretion, to accept a particular brief.

Ada tiga elemen penting - 

i. kena terima kes jika peguam beramal dalam bidang berkaitan kes tersebut; 
ii. pada fi yang berpatutan; dan 
iii. boleh tolak kes jika ada sebab. 

Dalam konteks guaman, orang awam boleh mendapat representasi dan diwakili dari peguam tanpa perlu peguam memilih atau selektif siapa yang bakal menjadi anak guam mereka. Kalau tidak, sukar bagi mereka yang tidak popular atau sebagainya diwakili oleh peguam.

Peguam dan Anak Guam

Hubungan peguam dan anak guam sepatutnya terikat pada hubungan profesionalisma sahaja. Tapi, sentimen ada memainkan peranan juga. Sebab itu tidak hairan jika sekarang ini kita melabel sesetengah firma guaman dilabel sebagai 'lawyer UMNO', 'lawyer PAS' atau 'lawyer PKR'. Memang wujud. 

Salahkah firma guaman ini mewakili parti-parti tertentu? TIDAK. Setiap parti politik (bahkan ahli politik) berhak kepada khidmat guaman. Merujuk kepada zaman krisis perlembagaan Perak pada tahun 2009 dulu, aku tergelak dengan tulisan seorang 'lawyer UMNO' yang pejabatnya dulu di bangunan UMNO dan kini di Putrajaya. Beliau 'marah' dan 'menempelak' dan mempersoal kewajaran golongan peguam yang mewakili 'pakatan pembangkang' secara pro-bono (percuma) tapi pada masa yang sama merupakan panel penasihat kepada GLC, bank dan badan-badan yang 'milik' kerajaan (Barisan).

Mengapa perlu menempelak? Golongan peguam tersebut sekurang-kurang ada inisiatif untuk memberi khidmat guaman percuma. Selagi tidak ada konflik kepentingan dan menyalahi apa-apa etika, para peguam bebas beramal dan bebas memilih siapa yang mereka mahu wakili. Sikap dan perilaku anak guam tidak semestinya refleksi sikap dan perilaku seorang peguam.

Penutup

Faktanya mudah, kronologinya jelas. Suatu masa dahulu Datuk Yusof merupakan Peguamcara II dan terlibat dalam sodomi II. Kes sodomi II itu dari segi undang-undangnya memang patut dibakul sampahkan sejak awal lagi (sebab itu Anwar bebas). Kini Datuk Yusof seorang peguambela yang beramal. Beliau ada kebebasan untuk wakili sesiapa yang beliau mahu, pada bila-bila masa.

1 comment:

  1. Hak dia ...apa nak buat!!
    Politik ohh!!! politik..kusut kepala

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets