Selamat tengahari. Saya Hamidon Hamidan wartawan lokasi anda membawakan anda secara langsung Laporan Khas JKKK untuk Berita Kurang Utama. Laporan ini bukanlah untuk menandingi Aduan Rakyat atau Titik Sentuhan, sekadar suatu percubaan untuk para penonton supaya membuka mata dan pasang telinga terhadap isu-isu semasa dan apa yang berlaku disekeliling kita.
Untuk episod pertama Laporan Khas JKKK akan mengetengahkan laporan bertajuk "Bawang itu Laukku". Kami mengembara jauh ke negeri pantai barat tanah air, iaitu Negeri Perak. Kami menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dan menuju ke daerah Dinding. Selepas hampir 3 jam perjalanan menggunakan kereta, kami menyusuri pula Sungai Dalam sepanjang 143 kilometer. Sepanjang perjalanan kelihatan beberapa perkampungan orang asli, dan melihat aksi-aksi kanak-kanak orang asli ini melakukan kuak lentang dan gaya bebas di sungai, mengingatkan kami bahawa adakah mereka ini merupakan bakat yang perlu diasah menggantikan Daniel Beego atau Michael Phelps. Mungkin pihak program PERMATA boleh masuk kampung untuk mencari bakat dan bijak untuk diketengahkan dan seterusnya dihantar ke luar negara untuk bermain organ atau biola atau trumpet. Tapi itu cerita untuk episod lain, tujuan utama kami ialah untuk ke Kampung Tempoyak Manis bertemu dengan keluarga En. Slamet Topal bin Slamet Emre, seorang petani yang kini ditimpa masalah. Masalah kesihatan dan masalah kewangan.
Setibanya di rumah En. Slamet Topal, kami disambut baik oleh isterinya, Pn. Seeti. Maka bermulalah cerita, perihal pendapatan keluarga yang tidak tetap dan mengharapkan belas ihsan orang kampung. En. Slamet Topal dan Pn. Siti dikurniakan 3 orang anak lelaki kembar yang kini berada di darjah 4. Namun, disebabkan En. Slamet yang lumpuh akibat diserang angin ahmar keluarga ini hilang tempat bergantung. Ada kalanya, kerana tiada wang, mereka sekeluarga terpaksa makan nasi berlaukkan bawang. Ini kerana banyak bawang liar tumbuh melata di Kampung Tempoyak Manis. Untuk mendapatkan sumber protin, anak-anak En. Slamet memancing ikan di sungai. Apa yang menyedihkan, pendidikan anak-anak juga terjejas kerana tiada wang untuk membeli buku dan peralatan sekolah. Kami simpati.
Bila diajukan permasalahan yang menimpa keluarga En. Slamet Topal kepada pihak berkuasa, ini jawapan yang kami terima: "Kami tak pernah mendapat sebarang aduan dari mana-mana penduduk kampung berkaitan hal ini, kalau tak pernah dapat aduan, bagaimana kami mahu ambil tindakan", ujar En. Rosdi Maher, ketua kerani Jabatan Tanah dan Galian dan Sumber Asli dan Unit-Unit Kebajikan Khas Daerah Dinding (JTGSAUUKDD). Beliau menambah bahawa, jika pihaknya (iaitu JTGSAUUKDD) mengambil tindakan sendiri, akan dituduh sebagai menyibuk atau menjaga tepi kain orang. Oleh yang demikian, beliau berharap ada orang kampung yang prihatin untuk membuat aduan dan laporan lanjut. Untuk makluman penonton, Encik Rosdi Maher merupakan anak jati Kampung Tempoyak Manis.
Mengetahui Laporan Khas ada di kawasan Daerah Dinding, ADUN kawasan iaitu YB. Jasmani Johari hadir menemui En. Slamet Topal. Tanpa disoal, YB. Jasmani Johari memberi kenyataan ambil berat berikut: "Pihak kami akan cuba yang terbaik untuk membantu keluarga En. Slamet. Macam sekarang ini kami ada bawa beras, gula, susu dan makanan ruji yang lain. Saya juga ada memberi sedikit bantuan kewangan ye. Emm, duit poket saya sendiri", sambil tersenyum lebar. Sambil menunding ke arah anak-anak En. Slamet, beliau menambah, "Dari segi jangka panjang, InsyaAllah pihak kami dan kerajaan akan memastikan pendidikan budak-budak ini terjamin, kami akan perintahkan PTPTN bagi pinjaman untuk mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan seterusnya universiti."
Setelah selesai membuat penggambaraan dan mendapatkan jaminan bantuan dari beberapa pihak yang berkaitan, maka kami pun bersiap pulang ke ibu kota. Dalam benak persoalan ini bermain: Kenapa baru sekarang mereka ini mahu ambil tindakan? Adakah perlu media sampai baru hendak buat kerja dan ambil tindakan? Ibarat menang sorak kampung tergadai, ikan tak dapat, jala yang koyak.
Sekian, saya Hamidon Hamidan mengakhiri Laporan Khas. Kembali kepada rakan setugas di studio.
nota kaki: nama-nama perseorangan dan lokasi adalah rekaan dan fantasi semata-mata, kecuali beberapa nama yang boleh dikenalpasti.
0 comments:
Post a Comment