Ya, universiti apa? UIA ke?
Sebenarnya IPTI pertama di Malaysia, malah di Tanah Melayu ialah Kolej Islam Malaya (KIM). KIM ditubuhkan kerana ketiadaan IPTI yang dapat menyediakan pengajian untuk para pelajar lepasan sekolah menengah agama. Sehingga tahun 1950'an dulu, memang banyaklah sekolah menengah agama, di negeri-negeri tu siap ada leading school. Kalau di Perak ada Sekolah Idrisiah, Kedah ada Maktab Mahmud, Terengganu ada SMASZA, Kelantan ada Maahad Muhammadi. Tapi lepas habis sekolah menengah, mahu ke mana? Pilihan yang ada waktu tu hanyalah ke Timur Tengah yang tentu sekali, bukan semua orang mampu & layak untuk ke sana.
Jadi KIM ditubuhkan pada 1955 untuk mengisi kekosongan itu. Dijemput pensyarah daripada Mesir untuk mengemudi KIM (Tan Sri Dr. Muhammad Abdul Rauf). Bekas Mufti Brunei, Tan Sri Ismail Aziz juga pernah menjadi pengetua KIM. KIM pada waktu tu cuma menyediakan Sijil Tertinggi KIM (macam Diploma), tapi dengan sijil ni, lepasan KIM boleh terus ke al-Azhar untuk menyambung ijazah Sarjana. Ramailah tokoh negara kita yang menjadi lepasan KIM ni, yang jadi menteri, yang jadi mufti, ahli politik, tak nak sebutlah, kalian boleh cari sendiri.
Hayat KIM sampai ke penamat dengan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada penghujung 1960'an. Dengan tertubuhnya UKM, KIM diserapkan masuk ke UKM menjadi Fakulti Pengajian Islam (FPI) beserta dengan Fakulti Sains & Fakulti Sastera. Aku nak tekankan kat sini, proses penghapusan IPTI atas nama 'naiktaraf' ini menjadi trend pihak kerajaan yang menyaksikan beberapa IPTI lain terkubur.
Selepas KIM hilang autonomi ditelan UKM, status KIM turun pangkat menjadi KIK (Kolej Islam Klang) pada tahun 1970. KIK sudah menjadi sekolah menengah yang menyediakan pengajian sehingga Tingkatan 6 sahaja. Status itu kekal sehingga sekarang, KIK sudah menjadi KISAS (Kolej Islam Sultan Alam Shah).
'Roh' KIM hilang ditelan UKM sehinggakan Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM tidak dikaitkan lagi dengan KIM. Cuma orang lama-lama je yang tau asal-usul FPI UKM. Baru-baru inilah, setelah 40 tahun, timbul usaha untuk menghidupkan semula KIM menjadi sebuah universiti bergelar Universiti Islam Diraja Malaysia. Ini sepatutnya dibuat 40 tahun dulu, tapi takpelah, daripada takde langsung baiklah ada sekarang.
Situasi KIM senasib dengan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pimpinan Pas pada 1965. Selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih Kelantan pada 1978, BN telah 'menaiktaraf' YPTIK dengan memindahkan YPTIK menjadi Akademi Pengajian Islam (API) di Universiti Malaya (UM) pada 1981. YPTIK hilang ditelan UM, sampailah sekarang. Cuma setelah Pas memerintah Kelantan semula, Pas telah menubuhkan Maahad Dakwah wal Imamah untuk menggantikan YPTIK & kini Maahad itu dikenali sebagai Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Tapi prestasi KIAS masih lagi menjadi tanda tanya (haha, ni kalau aku nak bantai memang sedap).
Di Terengganu juga IPTInya mengalami nasib yang sama apabila Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) yang ditubuhkan pada 1981 habis ditelan juga menjadi Universiti Sultan Zainal Abidin - UNISZA (sebelumnya Universiti Darul Iman - UDM). Proses 'naiktaraf' KUSZA menyaksikan identiti KUSZA lenyap kerana Fakulti Pengajian Islamnya (siap ada nama 'Kontemporari' pulak sekarang) berdiri sama tinggi & duduk sama rendah dengan fakulti-fakulti lain di UNISZA. Pergaulan para pelajar juga menjadi lebih bebas tidak seperti waktu KUSZA dulu. Pendek kata, autonomi KUSZA juga sudah ditelan UNISZA.
Sebenarnya isu KUSZA ditelan UNISZA inilah yang menjadi salah satu punca kenapa Idris Jusoh tidak lagi menjadi Menteri Besar Terengganu. Tindakan Idris Jusoh menyerahkan KUSZA kepada kerajaan persekutuan lebih dilihat sebagai cara untuk mengurangkan hutang kerajaan negeri yang berjumlah RM80 juta dek kerana terpaksa menanggung KUSZA. Sedangkan KUSZA sebagai satu institusi yang disayangi oleh istana Terengganu, tak boleh 'disodok' macam tu je. Dek kerana perbuatan Idris Jusoh yang menyakitkan mata istana inilah, Canselor UDM, Sultanah Nur Zahirah enggan hadir ke majlis konvokesyen pertama UDM yang menyaksikan warga UDM malu besar dengan isyarat yang istana Terengganu berikan kepada UDM. Setelah berbolak-balik sekian lama barulah nama UDM ditukar menjadi UNISZA sebagai satu cara untuk membodek istana Terengganu. Bayangkan segala signboard UDM yang terpaksa ditukar menjadi UNISZA, berapa juta agaknya yang hangus ye?
Walaupun KUSZA dah jadi UNISZA, tapi kerajaan negeri Terengganu sudah tidak ada lagi kolej agama yang menjadi aset & kebanggaan mereka.
Sebelum aku melarat lebih jauh, mesti ada yang tertanya-tanya, penting sangat ke sesebuah negeri tu mempunyai kolej agama sendiri?
Aku boleh katakan ianya penting sebab kolej agama ialah manifestasi kuasa agama Islam yang dipegang oleh negeri (baca: istana). Dengan kuasa negeri yang sememangnya dah terhad ni, IPTI merupakan salah satu cara negeri untuk menzahirkan kuasa mereka dalam hal ehwal agama Islam. Tambahan pulak majlis agama Islam, jabatan agama Islam, mahkamah Syariah, lembaga zakat di negeri-negeri jugak dipegang oleh kerajaan negeri, maka sumber manusia (baca: pekerja) di jabatan-jabatan berkaitan agama di negeri-negeri sewajarnya dipegang oleh mereka yang berkelulusan IPTI negeri itu jugak. IPTI jugak memberi prioriti kepada anak negeri untuk menjadi pelajarnya.
Setakat ni, hampir setiap negeri ada IPTI sendiri. Misalnya Kelantan ada KIAS, Pahang ada KIPSAS, Selangor ada KUIS, Perak ada KISDAR, Johor ada KIJ, Melaka ada KUIM, Kedah ada KUIN. Tapi setakat ni yang paling menonjol tentulah KUIS & KUIN.
Jadi kalau dah tiap-tiap negeri ada kolej agama sendiri, kerajaan persekutuan tak payahlah sibuk-sibuk nak naiktaraf IPTI ni & serap jadi IPTA. Misalnya macam KUSZA tu, kalau sungguh nak buat universiti, buat jelah universiti lain, KUSZA tu tak payah usik. Jadi kerajaan negeri ada dua pusat pengajian tinggi Islam. Kalau nak buat FPI, biar universiti baru tu ada FPI sendiri, yang KUSZA jangan usik. Sepatutnya KIM dulu pun, kalau nak buat FPI di UKM, biarlah FPI tu hidup sendiri di UKM, kena KIM pulak yang kena ditelan oleh UKM (OKlah kalau kes dulu-dulu, kekurangan dana & sumber manusia aku boleh terima jugaklah).
Aku pernah mendengar tokoh sejarawan Prof. Dato' Dr. Ramlah Adam memberi komennya mengenai isu yang semacam ini, walaupun ianya tidak berkaitan dengan IPTI (aku pun banyak tak setuju dengan makcik ni tapi yang betul, aku setuju jugaklah). Ramlah Adam kata dia tak faham kenapa ITM kena dinaiktaraf jadi UiTM. Sepatutnya kalau nak buat universiti, buatlah UiTM satu, yang ITM tu jangan usik. Jadi orang Melayu ada dua institusi. Beliau ambik contoh Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) & Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang MCA asaskan. Maknanya bila MCA nak buat UTAR kat Gopeng, dia tak 'naiktaraf' KTAR kat Wangsa Maju supaya jadi UTAR. Maka UTAR jadi UTAR, KTAR kekal KTAR.
Sepatutnya pendidikan Islam pun begitulah. Bukannya nak memusatkan IPTI, tapi nak bagi IPTI tu bercambah, jangan fokus kat satu je. Maknanya ada UIAM, ada USIM, ada UIDM, biarlah banyak-banyak pun, peluang pun lagi terbuka luas untuk orang belajar agama.
0 comments:
Post a Comment