Pages

Aziz Bari dan Pilihanraya

Saya ingin merujuk kepada perkembangan terbaru mengenai lamaran Pemuda Pas menjemput Prof. Dr. Abdul Aziz Bari supaya menyertai Pas. Lamaran ini berpaksi kepada ruang politik yang ditawarkan Pas kepada beliau agar beliau dapat mengembangkan ilmu dan berkongsi kepakaran beliau mengenai hal ehwal perlembagaan negara. Sebagai bekas anak murid Aziz Bari dan juga pemerhati politik amatur, saya tergerak untuk memberi komen, tetapi komen saya ini tidaklah berniat untuk menyuluh jalan kerana saya tahu yang Aziz Bari lebih maklum mengenai setiap keputusan yang beliau lakukan. Oleh kerana itu tindakan beliau untuk meletak jawatan sebagai pensyarah saya hormati walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Pas melalui sayap pemudanya menjadi pihak pertama yang secara rasminya melamar Aziz Bari untuk menyertai partinya. Ini bukanlah lamaran pertama kerana kita dimaklumkan terdapat pinangan-pinangan terdahulu daripada pelbagai pihak yang telah ditolak oleh beliau. Namun begitu, lamaran Pemuda Pas merupakan satu tindakan yang agak 'mengelirukan' kerana Prof ada sejarah 'istimewa' dengan Pemuda Pas tak berapa lama dahulu. Kita tidak lupa Aziz Bari pernah secara terbuka mengkritik kepimpinan Presiden Pas, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang malah beliau pernah menyamakan Haji Hadi sebagai "Pak Lah versi Pas". Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Kritikan-kritikan tersebut walaupun pahit tetapi sedikit sebanyak ada kebenarannya dan saya secara peribadi bersetuju dengan kebanyakan kritikan beliau. Saya masih ingat lagi, sungguhpun Haji Hadi tidak membalas komen tersebut, kita dapat saksikan tokoh-tokoh Pemuda Pas bertali-arus 'membedal' Aziz Bari dengan hujah-hujah yang lebih kepada 'melompat dan meloncat' daripada 'mendengar dan memahami' (Pemua Pas boleh menafikan perkara ini tetapi begitulah pengamatan saya sebagai orang awam). Dan para 'pembedal' tersebut juga masih lagi memegang tampuk kepimpinan Pemuda Pas. Saya tahu Pemuda Pas juga bersikap objektif kerana sewaktu Aziz Bari digantung perkhidmatannya baru-baru ini, Pemuda Pas juga tampil membela beliau. Tetapi sejujurnya saya tidak nampak benarkah wujud ruang untuk Aziz Bari bersuara di dalam Pas seandainya beliau diterima masuk sebagai ahli? Bagaimana kalau Aziz Bari sekali lagi mengkritik kepimpinan Pas? Barangkali apabila sudah berada di dalam parti, sewajarnya menurut 'adab berjemaah' Aziz Bari akan diminta menggunakan saluran dalaman untuk menyalurkan pandangan beliau. Dan keberkesanan saluran dalaman ini pula tidak dapat dipastikan berbanding kritikan terbuka yang lebih efektif impaknya atas kapasiti seorang cendekiawan yang independen. Kalau masuk parti politik, sudah tentulah terikat dengan norma dan aturan parti politik, lalu dapatkah Aziz Bari menyumbangkan idea dan pandangannya secara bebas? Ini tidak hanya terpakai untuk Pas sahaja, tetapi kalau masuk PKR, DAP, hatta UMNO sekalipun, pantang-larang dan keterbatasannya tetap sama.

Ahli akademik tetap seorang ahli akademik. Ramai ahli akademik yang terbukti gagal sebagai ahli politik, malah turun pangkat menjadi kangkung dan sawi sesudah menyertai politik (saya boleh senaraikan nama-nama tetapi tiada keperluannya di sini). Saya tidak mengatakan Aziz Bari tidak layak menjadi ahli politik, tetapi melihat kecenderungannya pun kita boleh tahu, kalau beliau menjadi ahli politik, beliau akan menjadi a very very very reluctant politician. Bidang akademik ialah passion beliau, maka saya rayu janganlah dijemput beliau masuk bidang politik pula. Setahu saya, beliau sangat menentang idea wakil rakyat sebagai "pegawai kebajikan masyarakat" yang cakna soal kutip sampah, anak masuk sekolah dan rumah terbakar. Tetapi realiti di dalam negara kita, wakil rakyat yang enggan menjadi "pegawai kebajikan masyarakat" lazimnya akan dibakulsampahkan oleh rakyat sesudah satu penggal. Jadi kita boleh bayangkan kalau beliau bertanding pilihanraya dan menjadi wakil rakyat (khabarnya bertanding di Sabak Bernam?), beliau akan jadi wakil rakyat yang 'hipokrit' kerana terpaksa juga menjadi "pegawai kebajikan masyarakat". Saya percaya mentaliti rakyat Malaysia masih belum berubah dan kebergantungan mereka terhadap wakil rakyat selaku "pegawai kebajikan masyarakat" masih lagi tinggi. Ini baru satu isu. Belum lagi isu-isu sensitif seperti Islam dan Raja-Raja Melayu yang menuntut seorang ahli politik lebih menjaga hati "pihak-pihak tertentu" daripada menyatakan kebenaran atas kapasiti ahli akademik.

Respon terbaru Aziz Bari mengenai tawarannya untuk bertanding pilihanraya mengesahkan kecenderungan beliau untuk menjadi wakil rakyat yang 'bagaimana'. Secara jujurnya, cara beliau yang ingin menjadi wakil rakyat yang 'bagaimana' itulah yang merisaukan saya, adakah rakyat boleh menerimanya? Menurut beliau, beliau masuk parti politik bukan mesti menjadi ahli politik, tetapi parti politik hanya sebagai platform sahaja. Ini bermakna, kalau dia masuk PKR misalnya, dia bukannya mahu jadi ahli politik (terikat dengan hukum-hakam parti, etc), tapi dia hanya mahu menjadikan PKR sebagai platform sahaja untuk dia menyumbangkan pemikirannya mengenai isu-isu perlembagaan. Dan sudah tentu-tentulah jaga longkang dan parit bukan sesuatu yang beliau ingin lakukan jika bergelar wakil rakyat nanti (itu pun kalau menang lah).

Perhatikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Beliau merupakan satu contoh politician yang reluctant. Beliau bukanlah nak sangat berpolitik, malah percubaannya untuk menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan 1996 juga gagal, walhal pada waktu itu beliaulah tokoh korporat yang paling menyinar sekali. Bukan itu saja, beliau turut gagal memenangi jawatan Ketua Bahagian UMNO Kuala Selangor pada waktu itu. Dan beliau mengakui, beliau tidak pandai berpolitik, cuma ingin menyumbangkan tenaga dan pemikirannya sahaja pada waktu itu. Masa masuk PKR pun, beliau seorang ahli politik yang teruk, tetapi pentadbir yang berjaya. Beliau tak ada masa nak fikir bahagian PKR ni sewa pejabatnya berbayar atau tidak, para pengikutnya cukup makan pakai atau tidak, kerana mentadbir negeri jauh lebih penting daripada parti.

Tapi bolehkah Aziz Bari jadi seperti Khalid Ibrahim? Walhal Khalid Ibrahim pentadbir, pengurus, sedangkan Aziz Bari ahli akademik. Mungkin Aziz Bari boleh menyumbang sebagai menteri yang jaga undang-undang atau menteri pengajian tinggi misalnya, itu pun kalau Pakatan Rakyat berjaya memerintah. Kalau tidak, beliau hanya akan jadi seorang ahli parlimen biasa sahaja (sekali lagi, itu pun kalau menang lah).

Pandangan peribadi saya, seekor harimau itu ditakuti orang kerana hebatnya di hutan rimba, tetapi kalau harimau itu duduk di dalam sangkar zoo, segagah mana pun harimau itu orang sudah tidak takut lagi dengannya. Maka hebatnya ahli akademik itu di gedung ilmu, bukan di lapangan politik. Kalau ahli akademik sudah masuk politik, jadilah seumpama harimau yang masuk zoo. Begitulah analogi saya mengenai kedudukan Aziz Bari. Kalau sudah masuk politik, agaknya orang sudah 'malas' nak dengar pendapatnya lagi.

Segalanya berkemungkinan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets