Pages

Fizo vs Bank [2011] (Bahagian II)

Secara ringkasnya, berikut disenaraikan isu-isu perundangan yang berbangkit berserta penjelasan umum:

1. Usahama dengan rakan kongsi

Fizo menyatakan bahawa beliau telah menyertai syarikat tersebut bersama dengan rakan kongsi beliau. Berapa orang tidaklah penulis ketahui, namun yang pasti Fizo merupakan salah seorang pengarah syarikat. Tidak juga dinyatakan samada Fizo memiliki sebarang pegangan saham dalam syarikat tersebut.

Antara beza pengarah dengan pemegang saham:

i. Pengarah merupakan pegawai syarikat, yang mengurustadbir syarikat, manakala pemegang saham adalah ahli syarikat yang juga pemilik syarikat (melalui pegangan saham).
ii. Pengarah selalunya dibayar gaji, manakala pemegang saham mendapat ganjaran dalam bentuk dividen (jika syarikat memperoleh keuntungan).

Penulis beranggapan jika individu ingin menubuhkan syarikat atau membuat sebarang usahasama, walaupun sebagai rakan kongsi tidak aktif, adalah wajar untuk mereka menandatangani perjanjian usahasama (Joint Venture Agreement) atau perjanjian pemegang saham (Shareholders’ Agreement). Perjanjian yang bagus akan menyenaraikan tanggungjawab and hak-hak pihak-pihak yang terlibat.

Dengan adanya hitam putih, setiap ahli usahasama akan lebih berhati-hati untuk mengikut terma-terma perjanjian dan pada masa yang sama, hak-hak mereka jelas dinyatakan.

2. Kewajipan/obligasi pengarah syarikat

Untuk syarikat-syarikat kecil, jarang ada pihak luar yang tiada kaitan dengan pegurusan syarikat dilantik sebagai pengarah. Tapi, dalam kes-kes terkecuali, ada juga mereka yang dilantik atas sebab (i) hubungan kekeluargaan (ii) memenuhi kuota status syarikat bumiputera (ii) memenuhi kuota pengarah penduduk tetap Malaysia (“residence”) atau (iv) hanya untuk mencukupkan forum. Setiap syarikat perlu ada sekurang-kurangnya dua pengarah.  

Kewajipan pengarah adalah termaktub dalam undang-undang bertulis seperti Companies Act 1965 dan kes-kes terdahulu yang diputuskan oleh mahkamah. Contohnya kewajipan bertindak untuk kepentingan syarikat, mengelakkan konflik kepentingan dan lain-lain.

Ada kalanya, pengarah diminta untuk bertanggungjawab atas dasar komersil dan perniagaan. Contohnya, pengarah diminta untuk menjadi penjamin pinjaman yang diambil oleh syarikat. Banyak kes-kes yang penulis lihat, pengarah akan merungut jika bank meminta syarat ini, tetapi terpaksa akur juga kerana tiada pilihan lain.
Jadi, untuk kes-kes yang terkecuali seperti disebutkan di atas, apakah perlindungan yang mereka ada? Mereka tidak tahu menahu hal ehwal syarikat, tapi ada tanggungjawab di sisi undang-undang, dan kadangkala diminta untuk menjadi penjamin pinjaman syarikat.

Di sini, penulis cadangkan agar perjanjian indemnity (Indemnity Agreement) dimeterai antara pengarah dengan syarikat. Secara lojiknya, syarikat perlu memberi indemniti (menanggung rugi) kepada pengarah-pengarah jika mereka menanggung sebarang kerugian, kos atau liabiliti atas sesuatu hanya kerana mereka ini bergelar pengarah, walhal tidak terlibat langsung dengan pengurusan syarikat. 
  
3. Proses dan prosedur penyempurnaan dokumen perundangan berkaitan pinjaman

Fizo ada mengatakan bahawa beliau syak bahawa syarikat tersebut layak untuk membuat pinjaman yang berjumlah jutaan ringgit. Peguam juga menyatakan mungkin syarikat tersebut adalah syarikat RM2 (ini kerana syarat minimum untuk menubuhkan syarikat ialah mempunyai 2 saham bernilai sekurang-kurangnya RM2).

Pihak bank tidak akan memberikan pinjaman kepada sebarang syarikat. Semata-mata hanya pengarah tersebut berstatus selebriti atau artis atau ahli sukan, tidak menjadi kayu ukur untuk bank meluluskan pinjaman. Pihak bank ada bahagian pengurusan kredit dan bahagian kajian risiko untuk menentukan samada syarikat layak untuk meminjam. Antara faktor yang diambil perhatian bank ialah aliran tunai syarikat, dana pemegang saham, kemampuan bayaran balik pinjaman, sekuriti yang mampu ditawarkan dan keberkesanan untuk menguatkuasakan sekuriti tersebut. Malahan, ada sesetengah bank akan melantik panel penasihat (samada peguam atau auditor) untuk menjalankan ketekunan wajar (due diligence) ke atas syarikat untuk memastikan syarikat benar-benar layak untuk mendapat pinjaman / mampu untuk membuat bayaran balik pinjaman.

Secara lazimnya, suratcara utama pinjaman terdiri dari Perjanjian Pembiayaan, Debentur, Ikatan Serah Hak, Gadaian, dan/atau Jaminan (Peribadi atau Korporat). Jika pinjaman telah diluluskan, maka pihak bank akan melantik panel peguam mereka untuk memastikan penyempurnaan suratcara pinjaman tersebut. Adalah menjadi tugas peguam untuk memastikan bahawa segala dokumen adalah teratur dan menjadi tanggungjawab peguam untuk menyaksikan pihak-pihak terbabit menandatangani suratcara yang berkaitan. Jika peguam yang bagus, mereka akan menjelaskan dokumen-dokumen yang akan ditandatangani atau sekurang-kurangya memberitahu apakah nama/tajuk dokumen tersebut. Setelah semua dokumen teratur, peguam akan mengeluarkan “advice release” kepada bank bahawa pinjaman boleh dikeluarkan kepada peminjam. Peguamcara juga perlu memastikan/menentusahkan bahawa orang yang betul menandatangani dokumen-dokumen berkaitan melalui kad pengenalan.

Selalunya penjamin akan diberikan salinan perjanjian jaminan untuk simpanan mereka.

Di sinilah isu-isu yang penulis bincangkan dalam Bahagian I memainkan peranan. Samada berlakunya pemalsuan atau Fizo tidak tahu/tidak dimaklumkan akan sifat dan kesan sesuatu dokumen.

Kemudian timbul lagi isu-isu yang tanpa fakta jelas, penulis hadkan, seperti berikut: -

i. Apakah prosedur untuk syarikat memohon pembayaran (disbursement) wang pinjaman dilakukan – adakah melalui permintaan rasmi peminjam.
ii. Bagaimanakah wang pinjaman disalurkan kepada peminjam – samada berbentuk deraf bank, atau melalui akaun pinjaman atau pun bank terus membeli barang yang diperlukan oleh syarikat.

4. Jaminan peribadi dari pengarah

Seperti yang dinyatakan di atas, kadangkala pengarah diminta untuk menjadi penjamin pinjaman syarikat. Bagaimana jika pengarah tersebut meletakkan jawatan dan meninggalkan syarikat tetapi pinjaman masih belum dilangsaikan?

Fizo ada menyatakan bahawa beliau telah keluar dari syarikat. Penulis tidak pasti jika Fizo benar-benar keluar meninggalkan syarikat tersebut secara rasminya atau tidak. Adakah bermaksud Fizzo memindahkan sahamnya dalam syarikat tersebut atau Fizo meletakkan jawatan sebagai pengarah atau kedua-duanya sekali? Dalam kedua-dua situasi, proses yang betul adalah untuk memperbaharui senarai nama-nama ahli syarikat dan senarai pengarah syarikat dari daftar ahli dan daftar pengarah (Register of Members dan Register of Directors). Seterusnya, setiausaha syarikat akan mendaftarkan kepada SSM akan perubahan yang berlaku.

Jika berlaku perletakan jawatan seseorang pengarah, dan beliau ada menjadi penjamin untuk pinjaman yang dibuat oleh syarikat, pengarah (melalui syarikat) boleh memohon kepada bank untuk menggantikan jaminan beliau dengan pengarah/penjamin yang lain. Walaupun jarang berlaku,tetapi dengan penjelasan dan alasan yang secukupnya, bank mempunyai budi bicara untuk melepaskan seseorang dari jaminan tersebut dan digantikan dengan penjamin yang baru (samada bank akan mengeluarkan surat pindaan atau melalui Deed of Discharge of Guarantee).

Persoalan di sini, dengan “meninggalkan” syarikat, adakah Fizo telah mengambil langkah-langkah di atas?

5. Kesan jaminan peribadi ke atas penjamin

Undang-undang menyatakan bahawa tanggungan penjamin adalah sama dengan tanggungan peminjam utama. Sebagai contoh, jika peminjam meminjam RM2 juta, maka liabiliti penjamin juga adalah RM2 juta. Apa yang menariknya (atau langsung tidak menarik bagi penjamin), pihak bank boleh menuntut hutang dari penjamin tanpa perlu membawa apa-apa tindakan ke atas peminjam utama. Dengan erti kata yang lain, bank boleh terus membuat tuntutan ke atas penjamin, tanpa membuat apa-apa tuntutan ke atas peminjam.

Walaubagaimana pun, bank selalunya akan berusaha menuntut hutang dari peminjam terlebih dahulu, sebelum beralih kepada penjamin.

Tetapi dalam prosiding kebankrapan, bagi penjamin sosial (“social guarantor”) seperti yang ditakrifkan dalam Bankruptcy Act 1967 (iaitu jaminan untuk pinjaman pelajaran, sewa beli kenderaan peribadi atau pinjaman perumahan kediaman), bank perlulah mengambil segala langkah-langkah yang perlu untuk mengutip hutang dari peminjam utama, barulah boleh untuk menuntut hutang ke atas penjamin.

6. Kewajipan berjaga-jaga (duty of care) bank

Secara umumnya, ini suatu isu yang memerlukan suatu lagi penulisan yang panjang lebar. Jadi, skop perbincangan hanyalah ke atas apa yang penulis faham dari intipati sidang media; iaitu pihak bank telah cuai dengan tidak memaklumkan kepada Fizo semasa wang pinjaman dilepaskan kepada pihak syarikat. Katalah Fizo membawa suatu saman ke atas bank atas sebab kecuaian, undang-undang mengenai tanggujawab dan obligasi bank sudah ada, isu utama sudah semestinya adakah bank mempunyai kewajipan berjaga-jaga untuk memaklumkan kepada penjamin ketika wang pinjaman dibayar (is disbursed) kepada peminjam.

7. Akta khas jaminan
Penulis tidak pasti dengan cadangan penggubalan akta yang dikatakan oleh pihak peguam (iaitu akta khas untuk melindungi hak penjamin). Kerangka undang-undang sedia ada ada menyebut mengenai kes-kes penipuan dan juga pemalsuan. Remedi untuk pihak-pihak yang tertindas atas sebab-sebab penipuan dan pemalsuan juga telah ada. Ada juga undang-undang mengenai tanggungjawab bank dalam operasi seharian. Tetapi adalah tidak adil untuk penulis menolak mentah-mentah cadangan yang dikemukakan, jadi penulis berharap suatu kajian khusus boleh dijalankan oleh pencadang.

Sebagai penutup, penulis ingin melihat perkembangan kes Fizo ini, dan semoga kebenaran terungkai dan yang tertindas terbela.

Diharapkan semua mendapat manfaat dan informasi dari penulisan ini. Suka untuk penulis ingatkan, bahawa ini bukan nasihat undang-undang, tetapi sekadar penjelasan berdasarkan apa yang penulis tahu, yang bersifat am. Banyak lagi persoalan dan perincian boleh dibuat. Untuk khidmat nasihat yang lengkap, sila hubungi peguam yang bertauliah yang beramal dalam bidang korporat atau perbankan atau kedua-duanya sekali.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets