Pages

Karenah Birokrasi






Dalam kehidupan seharian, kerjaya atau perniagaan, seseorang tidak akan lepas dari berdepan dengan karenah birokrasi. Terdapat proses dan prosedur yang senarainya tidak akan habis-habis, dan selalunya dikaitkan dengan badan-badan kerajaan/berkanun. Sebenarnya, mereka yang berada di sektor swasta pun tidak lepas atau terikat dengan birokrasi.

Proses dan prosedur bertujuan sebagai pemudah cara, agar sesuatu kerja dapat dijalankan dengan teratur, ada tempoh masa, agar dokumen-dokumen yang diperlukan tersedia. Jadi, seseorang perlu tahu sedikit sebanyak mengenai proses dan prosedur untuk sesuatu perkara, barulah kerja yang hendak dibuat itu akan lebih kemas dan tidak timbul salah faham atau kekeliruan.

Tapi, seperti yang acap kali berlaku, pemudah cara tersebut rupanya menjadi mimpi ngeri bagi seseorang. Proses permohonan yang sepatutnya mengambil masa sebulan tidak selesai dalam masa bertahun-tahun. Lebih malang, setelah beberapa ketika, hasil usaha keras untuk mengetahui akan status permohonan, kita diberitahu bahawa permohonan tidap pernah diterima atau permohonan tidak lengkap dan dinasihatkan untuk menghantar semula permohonan. Atau pun golongan-golongan bakal pendidik yang ijazah mereka memang dari dibiaya oleh kerajaan untuk menjadi cikgu. Berbulan-bulan menunggu, masih tidak dapat lantikan.

Sudah tentu kita boleh gubal dasar dan garis panduan yang pelbagai, tapi jika tidak ada semangat untuk mengikuti apa yang digubal, akhirnya akan menjadi sia-sia. Malahan akan menjadi punca kemarahan kepada orang awam kerana dasar atau garis panduan yang ada tidak dipatuhi. Pucuk pangkalnya berbalik kepada individu yang menjalankan dasar atau garispanduan tersebut.


Kepada mereka-mereka yang berkaitan, penulis berharap agar perkara-perkara di bawah diberi perhatian: -

1. Dasar digubal untuk dipatuhi, bukan sekadar pelengkap formaliti. Jadi sila hayati semangat dasar dan juga sebab-sebab kenapa dasar tersebut digubal.

2. Sila patuhi tempoh masa yang ditetapkan. Jika tertulis “permohonan akan diluluskan dalam tempoh sebulan”, maka pemohon perlu dimaklumkan pada hari ke-30 pemohon dimaklumkan status permohonan.

3. Jika tempoh masa yang ditetapkan tidak dapat dipenuhi, sila maklumkan kepada pihak-pihak yang terbabit. Komunikasi yang berkesan akan mengelakkan kekeliruan.

4. Tanamkan sifat untuk menjadi proaktif dan menumpukan perhatian kepada bidang tugas masing-masing. Jangan jadi seperti pahat, ditukul baru bergerak.

Sudah tentu perkara-perkara di atas tidak dapat menyelesaikan kesemua permasalahan yang ada. Tapi, jika ada kesedaran dari penjawat awam atau swasta mengenai etika kerja dan ada perasaan simpati kepada mangsa-mangsa karenah birokrasi, maka masalah-masalah kelewatan dan lain-lain boleh dikurangkan.

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

2 comments:

  1. "Atau pun golongan-golongan bakal pendidik yang ijazah mereka memang dari dibiaya oleh kerajaan untuk menjadi cikgu. Berbulan-bulan menunggu, masih tidak dapat lantikan."..nice..gwa slh sorg mgsa karenah birokrasi jenis ni..haha

    ReplyDelete
  2. @Anonymous

    Ya betul tu brother, haha.. Serbu je pejabat KPM

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets