Pages

Fizo vs Bank [2011] (Bahagian I)

Baru-baru ini tersiar di media masa berita Fizo Omar ditipu. Teras berita tersebut melaporkan bahawa Fizo dikejar oleh pihak bank untuk menuntut hutang pinjaman sebanyak lebih kurang RM2 juta. Pinjaman tersebut diambil oleh sebuah syarikat usahasama Fizo dan rakan kongsi beliau. Fizo dikatakan telah menjadi penjamin pinjaman tersebut. Sekarang, Fizo berhadapan risiko kebankrapan jika gagal membayar hutang tersebut.

Penulis sempat menonton klip sidang media yang di adakan oleh Fizo bersama peguam beliau. Secara umumnya, dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak dan dengan segala hormatnya pada pandangan-pandangan pihak peguam dan Fizo sendiri, penulis berpendapat terlalu banyak spekulasi sepanjang sidang media tersebut, diselangi dengan beberapa istilah perundangan dan fakta-fakta yang tidak konklusif. Mungkin spekulasi dan kekaburan tersebut disengajakan untuk tidak menjejaskan siasatan kes ini, atau untuk tidak menyinggung mana-mana pihak terbabit.
Antara lainnya, ada disebut bahawa mungkin Fizo menjadi mangsa fraud (fraud), duress (mungkin peguam maksudkan coercion (paksaan)), pengaruh tak wajar (undue influence) atau salah nyata (misrepresentation) (kesemuanya termaktub dalam Contracts Act 1950). Dalam erti kata yang lain, Fizo mungkin menandatangani dokumen pinjaman tanpa keizinan bebas (free consent) beliau. Peguam juga menyatakan mungkin ada unsur-unsur kecuaian (negligence) dari pihak bank dalam proses penyempurnaan dokumentasi pinjaman tersebut. Selain itu, terdapat saranan dari peguam tersebut agar digubal suatu akta khas untuk melindungi penjamin jaminan. Ada juga dinyatakan kemungkinan berlakunya pemalsuan (forgery).
Fizo pula mengatakan bahawa beliau menyertai syarikat tersebut dengan rakan kongsi beliau, dan sepanjang pengetahuan beliau, syarikat tersebut adalah tidak layak untuk memohon pinjaman dari bank, dan beliau sendiri, tidak layak untuk meminjam (secara peribadi) jumlah sebanyak itu.
Melalui klip tersebut, penulis tidak dapat gambaran secara terperinci apa sebenarnya yang terjadi. Apa pun, persoalan-persoalan berikut bermain di benak penulis: -

Adakah Fizo menandatangani sebarang dokumen pinjaman yang menjadi tuntutan bank tersebut?

Persoalan ini jika terjawab, dapat menjelaskan bahawa tiada unsur-unsur pemalsuan (forgery) terjadi. Pemalsuan di sini bermaksud tidak ada individu tertentu mengambil kesempatan ke atas Fizo dengan memalsukan tandatangan Fizo ke atas sebarang dokumen pinjaman.

Jika Fizo tidak pasti atau lupa apa yang beliau telah tandatangani, dan syak ada unsur-unsur pemalsuan, maka suatu laporan polis hendaklah dibuat, boleh pohon makmal forensik polis untuk menganalisa/membandingkan tandatangan Fizo untuk memastikan samada terdapat pemalsuan atau tidak.

Jika tiada pemalsuan, adakah Fizo menandatangani dokumen pinjaman tanpa keizinan bebas beliau?

Jika benar terjadinya fraud, coercion, undue influence atau misrepresentation, elemen-elemen pembuktian perlulah dikemukakan oleh Fizo. Sudah tentu rujukan kepada Contracts Act 1950 adalah relevan dan beban pembuktian di mahkamah sivil perlu dipenuhi pihak yang ingin membuktikan kewujudan sesuatu fakta.

Penulis sukar membayangkan bahawa seseorang itu lupa atau tidak sedar beliau telah menandatangani dokumen pinjaman, kerana, secara lazimnya, seseorang perlu initial setiap mukasurat dokumen pinjaman, dan mukasurat tandatangan (signing page) selalunya jelas tertera bahagian mana untuk ditandatangani oleh bank dan bahagian yang perlu ditandatangani oleh peminjam/penjamin.

Ada beberapa persoalan lagi yang penulis ingin timbulkan, tapi dengan fakta yang kurang jelas dan untuk mengelakkan kerumitan, penulis abaikan sahaja. Tetapi, penulis akan menulis, di Bahagian II beberapa isu yang berbangkit dari kes ini.

Seterusnya, satu langkah yang perlu diambil ialah proses pengzahiran rekod-rekod korporat syarikat tersebut, termasuklah dokumen-dokumen pinjaman yang menjadi isu. Untuk rekod-rekod korporat, boleh didapati dari Suruhajaya Syarikat Malaysia. Untuk dokumen-dokumen pinjaman, boleh diminta dari pihak bank atau pun peguamcara yang menguruskan penyempurnaan suratcara pinjaman.

Mengenalpasti dan mengesahkan fakta adalah sangat penting. Barulah ada hala tuju dan tertib untuk melakukan penyiasatan atau penyelesaian. Bila ada pengenalan, kandungan, plot, klimaks dan penutup, barulah jalan cerita itu lengkap dan secara tidak langsung isu-isu dengan mudahnya dapat dikenalpasti. Barulah jalan penyelesaian boleh dicari.

Jadi kepada saudara Fizo, harap bersabar dan semoga kebenaran akan memihak kepada pihak yang betul.

Akan bersambung…

2 comments:

  1. namun saya cenderung mengatakan bahawa ia adalah kecuaian bank

    ReplyDelete
  2. kita lihat nanti sejauh mana kecenderungan itu ya. dah ada 100 kes ni.

    D

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets