Pages

Malangnya Oley!

Kita semua sudah melihatnya, memujinya. Video Oley yang masyhur di Youtube itu dihasilkan sebagai satu tindak balas atau respon terhadap video Sembang Rakyat yang secara terbuka membantai hukum hudud yakni hukum Allah.

Intipati video Oley ringkas, atau aku boleh katakan sangat-sangat ringkas. Basically isinya - kalau tak tahu jangan bercakap.

Terdetik di dalam hati aku, alangkah bagusnya kalau video penerangan seperti ini dibuat jauh lebih awal berbanding video Sembang Rakyat tu. Maknanya tak payah tunggu orang mencemuh dan mengutuk hukum hudud baru nak buat video untuk membalas cemuhan dan kutukan tersebut. Lalu aku tertanya-tanya, kalau sungguh mahu menegakkan hukum hudud, takkanlah jadi dengan hanya sebuah video sedangkan laungan untuk melaksanakan hukum hudud ini sudah berkumandang sejak tahun 1990 lagi?

Di sinilah pincangnya jentera penerangan Pas, tak kira Kelantan atau pun Terengganu (sebab dua negeri je yang ada Enakmen Hudud, Qisas & Ta'zir). Jangan salahkan UMNO, balik balik UMNO. Duit takde salah UMNO, jambatan tak siap salah UMNO, rakyat miskin pun salah UMNO.

Aku semacam bersetuju dengan komen Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato' Aria Diraja Hj. Daud Muhammad yang mengatakan sebenarnya kerajaan negeri tidak betul-betul bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hukum hudud. Sambutan hari hudud dibuat, tapi sekadar itu sajalah. Tidak ada tindakan proaktif dibuat. Sampaikan baru-baru ini sajalah Menteri Besar Kelantan tubuhkan jawatankuasa teknikal untuk melaksanakan hudud. Setelah 18 tahun baru nak buat jawatankuasa teknikal?

Aku turut terusik dengan soalan yang dikemukakan oleh Presiden Pas sewaktu Persidangan Dun Terengganu baru-baru ni. Soalannya bila Terengganu nak laksana hukum hudud sedangkan undang-undang dah ada. Jawapan di pihak UMNO aku kira berlapik, tetapi rasional soalan itu pun aku kira mengelirukan. Kalau Pas yang memerintah Terengganu sekali pun, adakah Pas akan laksanakan hukum hudud? Soalan itu kita boleh jawab sendiri dan kita pun boleh agak apa jawapan yang Pas akan bagi, Pusat tak bagilah, takde kerjasamalah, itulah, inilah. Jadi kenapa nak dibebankan kepada UMNO pulak untuk laksanakan hudud?

Tidak keterlaluan kalau aku katakan hudud menjadi senjata Pas dan UMNO untuk membantai lawan masing-masing semasa pilihanraya. Cerita 5 tahun sekali. Pas akan kata bukan kami tak nak laksana hudud, tapi UMNO yang tak bagi. UMNO pulak kata, ini bukan hudud Allah, ni hudud Pas (habis mananya hudud Allah dan kenapa tak nak laksana?)

Pendapat peribadi aku, hudud hanya akan terlaksana kalau titahnya datang daripada Raja-Raja Melayu sendiri. Kalau nak harap parti politik, semuanya akan dipalit dengan lumpur politik. Raja-Raja Melayu, nak harapkan kesedaran mereka berdasarkan ilmu agama yang mereka ada, secara jujur aku katakan, memang takde harapanlah. Jadi tanggungjawab menyedarkan Raja-Raja Melayu terletak pada pundak para penasihat di sekeliling Raja-Raja Melayu, baik Mufti, Menteri Besar, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri dan ramai lagilah. Aku tak berniat nak persoalkan apa yang para penasihat ni buat selama ni sebab aku tau ramai di kalangan penasihat tu telah pun menasihat. Tapi yelah, dah nama pun penasihat, tinggal Raja-Raja Melayu nak dengar atau pun tidaklah. Cumanya dengan kuasa sebagai ketua agama Islam negeri, Raja-Raja Melayu boleh mendesak. Misal katanya Sultan Kelantan mahukan hukum hudud dilaksanakan di negeri baginda. Baginda boleh bawak isu ini ke mesyuarat Majlis Raja-Raja. Kenapa tak boleh laksana? Bila boleh laksana? Apa penghalangnya? Kena bertegas, macam yang Sultan Brunei buat baru-baru ni. Jadi bila Raja-Raja Melayu sendiri menjadi pendesak, takdelah timbul isu "ini hudud politik" atau "ini hudud Raja-Raja Melayu".

Nak laksana hukum hudud pun, mulut janganlah cabul sangat nak kata pelan pelaksanaan hukum hudud. Nama boleh tukar, pelan transformasi mahkamah Syariah ke, pelan peneguhan perundangan Islam ke, tapi intinya tetap sama. Letak Raja-Raja Melayu kat tengah, bincang dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja, takde kaitan dengan orang bukan Islam pun. Hanya orang yang pakar saja yang boleh berbincang dan berdebat. Jadi undang-undang Islam tak terdedah kepada peluru prejudis orang Islam dan bukan Islam kat luar sana.

Inilah sebenarnya kunci perpaduan orang Melayu (nak menaip perpaduan Melayu pun serasa-rasa nak geli). Sebab aku perhatikan antara Pas dan UMNO, tidak ada perbezaan yang ketara melainkan soal dasar. Tapi soal dasar pun bergantung kepada pelaksanaan dan ianya fleksibel. Yang aku perhatikan sekarang, Pas dan UMNO bergaduh sebab Pas nak hukum Islam tapi UMNO katanya tak nak. UMNO pulak kata Pas peralatkan hukum Islam. Tapi sebenarnya masing-masing nak hukum Islam. Misalnya kalau Najib tiba-tiba kata marilah kita kembali kepada hukum Allah, aku rasa kesemua 3 juta ahli UMNO akan angguk dan setuju hudud dilaksanakan. Sekular atau tidak tu bergantung kepada pemimpin. Kalau pemimpin UMNO nak hudud walaupun perlembagaan UMNO tak secara jelas nak melaksanakan undang-undang Islam, itu tak jadi masalah. We look at the substance rather than the form. Malang sekali hukum Islam yang sepatutnya menjadi kunci perpaduan dah jadi kunci perpecahan pulak antara Melayu Pas dan Melayu UMNO.

UMNO nak ajak Pas berpadu-padu, inilah senjatanya, hukum Islam. Tunjukkan minat nak memartabatkan hukum Islam tu. Ini tidak, UMNO pun nak martabatkan Islam, tapi buat sendiri sendiri. Yang Pas pun sendiri sendiri. Rugilah.

Hanya dengan cara ini saja Pas dan UMNO boleh disatukan. Raja-Raja Melayu pun boleh menyatukan Melayu hanya melalui cara memartabatkan undang-undang Islam. Kalau tidak, sampai ke sudahlah tak habis-habis Pas dan UMNO bergaduh pasal benda yang sepatutnya tak perlu gaduh pun.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets