Pages

Siri Bercakap Dengan Ahmad Ibrahim (bahagian 2)

(sambungan dari bahagian 1)

S: Bagaimana perkara ini dapat dilakukan, sedangkan baru-baru ini mereka telah didedahkan bagaimana Pakistan yang melaksanakan undang-undang Islam di bawah Presiden Zia-ul-Haq telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas bekas Presiden Ali Bhutto? Tentu mereka beranggapan bahawa undang-undang Islam itu zalim, lebih keras dari undang-undang Inggeris sendiri?

J: Mestilah ditegaskan di sini bahawa prinsip perundangan Islam itu ialah atas dasar persamaan dan keadilan. Dalam Islam setiap manusia itu adalah sama dari kaca mata undang-undang tidak kira bangsa, agama atau taraf darjatnya.

Kaum Muslimin tidak berpegang atau mengikut teori bahawa raja, permaisuri atau seorang presiden itu tidak boleh melakukan kesalahan dan tidak boleh didakwa. Mereka seolah-olah sunyi dari melakukan kesalahan.

Kaum Muslimin berpegang teguh kepada kedaulatan undang-undang. Yang benar adalah benar dan yang salah tetap salah, tidak kira siapa yang melakukan kesalahan itu mereka mesti dihukum mengikut undang-undang yang ada.

Kita patut merenung kembali kepada sebuah hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: "Orang-orang yang sebelum kamu menjadi hancur disebabkan apabila seseorang yang terhormat mencuri, maka mereka membiarkannya. Tetapi jika orang lemah yang mencuri, maka mereka menjalankan hukuman ke atasnya. Demi Tuhan, kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, tentu saja dipotong tangannya".

Undang-undang Islam juga tidak zalim atau menganiayai orang-orang yangg lemah dan miskin atau kaya sekalipun. Sebagai contoh dalam Islam hukuman bunuh hanya dikenakan atas empat perkara: Zina, membunuh orang, pengkhianat atau penderhaka dan murtad. Bagaimanapun ini tidak bermakna jika seseorang itu melakukan perkara-perkara tadi mereka dengan begitu mudah boleh dijatuhkan hukuman bunuh.

Bagi orang yang berzina, hukuman bunuh hanya boleh dijatuhkan sekiranya terdapat empat saksi yang melihat dengan mata kepala mereka sendiri atau penzina mengaku sebanyak empat kali. Ini jelas sahaja perkara yang mustahil atau susah didapati kerana biasanya orang yang hendak melakukan hubungan jenis tidak akan melakukannya di hadapan orang ramai tetapi sebaliknya di tempat-tempat yang tersembunyi.

Begitu jugalah halnya dengan perbuatan membunuh orang, tidak semestinya dijatuhkan hukuman bunuh kerana di bawah hukum Qisas pesalah boleh membayar gantirugi kepada saudara-mara si mati atas perbuatannya yang telah terlanjur itu.

Juga bagi treason tidak mesti dan boleh dihukum bunuh sehinggalah orang itu telah menimbulkan keadaan huru-hara dalam negeri dan dengan adanya dia akan terus menjadi beban kerana mengganggu ketenteraman awam dan mengacau kedamaian negara.

Bagi yang murtad, mereka itu hanya dibunuh sekiranya setelah kembali ke agama asalnya menjadi musuh kepada Islam. Tetapi sekiranya ia kembali ke agama asalnya tanpa menjadi musuh Islam maka mereka tidak boleh dihukum bunuh, hanya setakat hukuman lain yang lebih ringan.

Di Malaysia sekarang orang yang menyimpan senjata api tanpa lesen atau dadah merbahaya boleh dijatuhkan hukuman bunuh, sedangkan dalam Islam kesalahan seumpama itu tidak boleh dibunuh, hanya setakat hukuman lain sahaja.

Di England undang-undang mereka di kurun ke-13 mengenakan hukuman bunuh dan dirampas harta untuk raja bagi kesalahan mencuri dan merompak. Hanya dalam kurun ke-19 ini sahajalah hukuman itu telah ditukarkan kepada penjara.



bersambung jua, jika ada masa

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets