Pages

Siri Bercakap Dengan Ahmad Ibrahim (bahagian 1)

Temubual ini pernah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Mei 1979 sewaktu Almarhum Tan Sri Profesor Datuk (Dr.) Ahmad Mohamed Ibrahim memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Ya, 1979, sewaktu pemerintahan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri. Hayatilah pemikiran Almarhum, bapa undang-undang moden Malaysia mengenai persoalan kesesuaian aplikasi undang-undang Islam di Malaysia.

Soalan (S): Profesor, adakah apa-apa syarat yang dikenakan terhadap sesebuah negara untuk menjalankan undang-undang Islam?

Jawapan (J): Kalau orang-orang beriman sedar dan tahu tanggungjawab mereka pada agama dan percaya dengan sebenar-benarnya kepada apa yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad, maka dia patut dan mesti patuh kepada syariah (undang-undang) Islam.

Sebenarnya tidak ada syarat khas bagi sesebuah negara untuk menjalankan atau melaksanakan undang-undang Islam seperti juga sekarang tidak ada syarat dikenakan kepada Malaysia untuk melaksanakan undang-undang Inggeris.

Itu terpulang kepada kehendak mereka dan sejauh mana kepercayaan mereka kepada sesuatu undang-undang dan di sini kepada hukum Allah sendiri. Jadi secara tidak langsung bolehlah kita katakan syaratnya ialah ada manusia, masyarakat dan percaya undang-undang Islam itu sebagai sebaik-baik dan seadil-adil hukum di muka bumi ini.


S: Adakah masyarakat berbilang kaum dan agama itu merupakan satu halangan untuk melaksanakan undang-undang Islam di sesebuah negara?

J: Islam ialah mesej diturunkan untuk semua manusia dan bersifat universal tidak kira kaum, bangsa atau di mana sahaja mereka berada. Oleh itu undang-undang Islam juga bersifat universal dan tidak hanya bersifat nasional yang terhad dan terbatas kepada puak-puak tertentu.

Apa yang perlu ditegaskan ialah bahawa Islam itu adalah cara hidup yang sempurna dan tidak sekali-kali Islam itu merupakan agama, dalam istilah barat, kerana Islam memberikan segala petunjuk tentang kemanusiaan dalam segala bidang hidup mereka sedangkan agama bagi barat hanyalah yang bersangkut-paut dengan ibadah dan tidak ada kaitan dengan duniawi.

Lebih dari itu Islam juga adalah sesuai untuk setiap zaman dan itu sahajalah agama yang diredai oleh Allah sehingga akhir zaman bagi hamba-hambaNya yang beriman.

Lagipun telah terbukti bahawa di zaman Nabi Muhammad serta Khulafa' ar-Rasyidin dan zaman khalifah-khalifah Islam yang lainnya, undang-undang Islam telah dilaksanakan di mana-mana juga jajahan takluk Islam ketika itu walaupun terdapat pelbagai bangsa dan manusia yang menganut pelbagai agama.


S: Adakah Profesor mengatakan negara kita yang mempunyai penduduk dari berbilang bangsa dan agama tidak menjadi halangan kepada undang-undang Islam?

J: Tentu sahaja. Lagipun dari satu segi, orang-orang bukan Islam di Malaysia sekarang bukan mengikut undang-undang mereka, orang Cina dengan undang-undang Cina, orang India dengan undang-undang India. Ini tidak berlaku. Mereka semua sekarang disogokkan oleh undang-undang Inggeris.

Tidak menjadi masalah kalau mereka sekarang diperkenalkan kepada undang-undang Islam yang mana jika mereka kaji dan mengetahui dengan lengkap adalah lebih baik, adil dan saksama berbanding undang-undang Inggeris yang dikenakan kepada mereka.

Apa yang perlu dilakukan ialah kita mesti tunjukkan dan buktikan bahawa antara kedua-dua undang-undang Inggeris dan Islam, mana yang lebih sesuai bagi negara kita.

Tentu sahaja jika dahulu setiap mereka sedia menerima undang-undang Inggeris tidak ada sebarang sebab pula untuk mereka menolak dan enggan menerima undang-undang Islam sekarang, apatah lagi telah terbukti ianya lebih sesuai.




bersambung lagi, jika mahu...

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets