Pages

Kebebasan Kehakiman: Membetulkan Salah Faham

Lanjutan daripada keputusan kes Anwar Ibrahim semalam, ramai yang memberi komen dengan mengatakan keputusan mahkamah semalam membuktikan bahawa mahkamah bebas dan tidak dikongkong oleh mana-mana pihak.


Sebenarnya, inilah satu bentuk salah faham yang teramat serius yang membelenggu pemikiran kebanyakan orang. Parameternya mudah, kalau kes menyebelahi kerajaan, ohhh mahkamah diperkuda, kalau kes tidak menyebelahi kerajaan, ohhh mahkamah bebas.


Untuk membandingkan kehakiman yang bebas dan kehakiman yang tidak bebas, elok kita semak semula sejarah dan menilai bagaimana satu ketika dulu, sistem kehakiman negara kita diiktiraf sebagai antara yang terbaik di kalangan negara Komanwel dan ini berlaku sekitar tahun 70'an dan awal 80'an sewaktu Tun Suffian Hashim, Sultan Azlan Shah dan Tun Salleh Abas menjadi Ketua Hakim Negara. Bandingkan pula dengan keadaan pasca pemecatan Tun Salleh Abas (akan diceritakan kemudian).


Kalau kita membuat analisa mengenai kes-kes di zaman tiga Ketua Hakim Negara di atas, kita akan mendapati banyak kes-kes yang diputuskan menyebelahi kerajaan, tetapi kenapa orang tak kata sistem kehakiman negara kita dikongkong, diperkuda dan sebagainya? Berderet-deret kes kita boleh senaraikan dan kebanyakan kes menyaksikan apabila kerajaan kalah kes itu, kerajaan akan pinda undang-undang yang berkenaan supaya memihak kepada kerajaan.


Pada zaman 'kegemilangan' itu jugak, orang tak kisah kalau kalah kes sebab bagi mereka, kalah kes pun mereka puas hati kerana mereka kalah dengan alasan yang kukuh. Maksudnya kalau main bola tu, team yang kalah tu puas hati diorang kalah sebab team yang menang tu memang layak menang.


Di zaman Tun Salleh Abas menjadi Ketua Hakim Negara, beliau dikenali sebagai hakim yang pro-kerajaan. Para peguam pun tau. Ini sesuai dengan pengalaman beliau sebagai Peguamcara Negara sebelum itu, justeru tak peliklah kalau keputusan beliau cenderung menyebelahi kerajaan seperti di dalam kes Theresa Lim Chin Chin, Lim Kit Siang v UEM, Malaysian Bar v Kerajaan Malaysia dan lain-lain. Tapi ada juga keputusan yang tak menyebelahi kerajaan seperti kes Mamat Daud, John Peter Berthelsen, Dato' Yap Peng dan lain-lain lagi. Tapi orang tak pertikaikan keputusan tu sebab orang tau hakim-hakim ni bebas. Yang mula membedal keputusan-keputusan mahkamah tak lain tak bukan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri selaku Perdana Menteri waktu tu. (Nak cerita pasal malapetaka yang dia dah buat kat sistem kehakiman ni tak usah cakaplah sebab dia akan sentiasa nafikan. Tapi orang di sekeliling dia semua mengaku yang dialah yang telah menjahanamkan reputasi sistem kehakiman. Biasalah, siapa nak mengaku berak tengah jalan).


Maknanya satu ketika dulu, kebebasan kehakiman tidak dikaitkan secara langsung dengan menang atau kalahnya kerajaan dalam satu-satu kes tu, sebab logiknya takkanlah kerajaan menang semua atau kerajaan kalah semua.


Yang dikatakan sistem kehakiman dikongkong terdiri daripada banyak faktor. Antaranya ialah apabila ada fakta-fakta yang meyakinkan menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tak kena menyelubungi proses perbicaraan satu-satu kes. Contohnya:


1. Ada hakim yang bersosial dengan peguam-peguam tertentu secara private, dinner, lunch, datang rumah, sesuatu yang bercanggah dengan etika sebagai hakim mahu pun peguam.


2. Ada hakim yang pergi bercuti sekali dengan peguam.


3. Ada Ketua Hakim Negara yang menghubungi hakim Mahkamah Tinggi dan 'menasihatkan' agar keputusan hakim Mahkamah Tinggi tu menyebelahi kerajaan.



4. Ada kes yang difailkan di mahkamah yang salah tetapi tetap didengar kerana plaintif atau defendan mahukan hakim 'pilihan' mereka untuk mendengar kes itu.


5. Ada hakim-hakim yang cukup malas tulis penghakiman alih-alih boleh jadi Ketua Hakim Negara dan naik pangkat dengan lajunya.


6. Ada hakim yang ditekan untuk meletakkan jawatan (dan kesudahannya memang dia letak jawatan) setelah dia menyebarkan surat beracun mengenai korupsi sistem kehakiman yang hasil siasatannya tak pernah diketahui (entah disiasat atau tidak).


7. Ada hakim yang alasan penghakimannya disiapkan oleh peguam. Ada hakim yang alasan penghakimannya cuma cut & paste (ini boleh jadi korup atau boleh jadi dia memang pemalas).


8. Ada hakim-hakim yang membuat tindakan 'luar biasa' dan tak ikut amalan biasa (precedent) tatkala membuat satu-satu keputusan. Nak itemize satu-satu memang complicated sebab memerlukan pengetahuan undang-undang yang lebih extensive. Tapi sekadar contoh misalnya (tapi tak bermaksud kes-kes confirm terpalit dengan rasuah) - writ of declaration yang boleh 'digantung' dan stay of execution yang boleh dapat hampir serta-merta (kes Perak), calon yang ternyata kalah dengan majoriti yang besar diisytihar sebagai wakil rakyat (kes Wee Choo Keong), penghakiman-penghakiman pelik macam dalam kes Sodomi I dan II, dan lain-lain lagi.


Cukuplah contoh-contoh yang tersebut di atas untuk menggambarkan "something is rotten in the state of Denmark".


Untuk mengatakan bahawa pembebasan Anwar semalam membuktikan bahawa sistem kehakiman negara bebas, ini sesuatu yang mengelirukan kerana kalaulah benar-benar hakim itu ditekan untuk menghukum Anwar dan hakim itu memilih untuk TIDAK tunduk terhadap tekanan itu, bolehkah kita kata sistem kehakiman negara bebas? Macam mana kerajaan nak berlepas diri daripada kes Anwar sedangkan Perdana Menteri mengenali 'mangsa' secara langsung dan mempunyai akses untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu? Bagaimana dengan jawapan Perdana Menteri yang berdolak-dalik, sekejap kata tak kenal, sekejap kata nak mintak biasiswa, sekejap kata kena liwat? Ini tak boleh dikambus begitu sahaja hanya semata-mata kerana Anwar dibebaskan.



Kebebasan kehakiman bukan semata-mata melihat menang kalahnya kerajaan atau baik buruknya hakim. Cumanya hakim yang korup menjadi cerminan kepada sistem kehakiman yang rosak. Dan bukan semua orang kenal hakim yang korup. Kalau sebut hakim korup, orang awam memang tak tau siapa yang korup sebab diorang memang tak berurusan dengan mahkamah. Yang kenal siapa hakim yang korup ialah para peguam, ianya dah jadi open secret. Bukan mudah untuk memahamkan orang awam bahawa sistem kehakiman yang korup berkait secara langsung dengan nasik yang dia makan dan air yang dia minum hari-hari.



Penting jugak disebutkan kat sini, bukan semua hakim korup. Ada hakim yang berintegriti dan ada yang korup. Para 'perasuah' kenal mana satu yang berintegriti dan mana satu yang 'boleh makan'. Jadi kalau orang tanya hakim yang berintegriti, "pernahkah anda ditekan?", sah-sahlah hakim tu akan jawab "saya tak pernah ditekan dan saya bebas menjalankan tugas saya tanpa sebarang tekanan". Misalnya bila wartawan tanya Tan Sri Harun Hashim masa Anwar kena pecat dulu, pernah dia ditekan semasa jadi hakim Mahkamah Agung, memanglah dia jawab saya tak pernah ditekan, sebab dia memang jenis hakim yang berintegriti. Lagi satu, kalau sungguh pun hakim tu ditekan, takkanlah dia nak mengaku "ya, saya ditekan", melainkan dia benar-benar berintegriti.



Khulasahnya, kebebasan kehakiman bukanlah sesuatu yang boleh diukur dengan KPI. Ianya penghormatan dan persepsi yang diraih. Dan ianya meliputi bukan saja hakim, malah pendakwa raya, peguam (pusing-pusing kot mana pun mesti ada yang bertindan, balik-balik muka yang sama) dan yang paling penting, pimpinan kerajaan sendiri. Bagaimana hakim yang berintegriti ingin menjunjung keadilan kalau kes-kes yang dibawa di hadapannya dikendalikan oleh pendakwa raya yang cuai atau peguam yang bijak memutar-belit? Kalau dah satu dunia mempertikaikan integriti sistem kehakiman negara, tak payahlah nak terhegeh-hegeh mengaku yang hakim-hakim ni bebas. Buat jelah kerja without fear or favour, nescaya pengiktirafan kebebasan kehakiman tu akan datang dengan sendirinya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets