Pages

Sultan yang saya bangga

Dalam lipatan sejarah, ada 2 orang Raja-Raja Melayu yang sangat saya kagumi. Seorang ni zaman purbakala, manakala seorang lagi tak berapa nak purba, kiranya kurun ke-20 jugaklah.

Saya menyanjungi Sultan Melaka kurun ke-15, Sultan Alauddin Riayat Shah kerana teladan yang diberikan, menangkap penyamun di tengah malam, membanteras rasuah dan salahguna kuasa, mengherdik pembesar yang tak buat kerja, anti-perang dan pro-perdamaian. Sewaktu pemerintahan baginda, Melaka berada di puncak, walaupun tidak berlaku perluasan kuasa dan wilayah Melaka statik seperti mana zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah. Sultan Alauddin memerintah dalam waktu yang singkat dan mangkat di awal umur 30'an. Banyak tokok tambah yang "baik-baik" mengenai baginda tetapi pendedahan awal mengenai ketokohan baginda amatlah mengesankan saya.

Sultan kedua ialah Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III yang memerintah Terengganu dari 1881 - 1918. Inilah satu-satunya Sultan Melayu zaman moden yang boleh dibanggakan dan saya sejujurnya sangat kasih akan ketokohan beliau sungguh pun saya tidak ada sebarang perkaitan dengan baginda. Sultan Zainal Abidin III sangat mementingkan ilmu dan menghormati alim ulama'. Ulama' diberikan peranan penting sewaktu pemerintahan baginda dan di sini peranan Tokku Paloh sangatlah signifikan. Berbanding kisah Sultan Alauddin yang tak berapa banyak kita tahu, Sultan Zainal Abidin III lebih banyak pengkisahannya. Beliau tegas menentang sebarang bentuk penjajahan kuasa luar, ini terzahir melalui tindakan baginda yang tidak mengiktiraf Perjanjian Bangkok 1909 dan seterusnya menggubal Perlembagaan Terengganu yang dipanggil Itqan al-Muluk li Ta'dil as-Suluk pada tahun 1911 yang jelas mempertahankan kedaulatan negeri Terengganu dan melarang pemerintahnya menyerahkan Terengganu kepada kuasa luar. Saya kira Sultan Zainal Abidin III dan Tokku Paloh ialah ikon gandingan umara' dan ulama' kurun ke-20 yang wajar diberi perhatian. Ketokohan Sultan Zainal Abidin III juga diabadikan di nama institusi-institusi agama seperti Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (kini Universiti Sultan Zainal Abidin). Kisah-kisah keramat Tokku Paloh juga mengujakan dengan rangkaian cerita kerusi yang terletak di punggung pegawai British dan angkatan tentera misteri yang mengawal perairan Terengganu.

Terengganu sangat terkesan dengan pemergian kedua-dua tokoh pada tahun yang hampir sama (1917 / 1918) dan sesudah itu barulah British berani menjejakkan kaki ke Terengganu, menjadikan Terengganu sebagai negeri Melayu terakhir yang menerima penasihat British.

Walaupun pemerintahan baginda berdua saya kagumi, tetapi saya menyedari satu kelemahan yang mungkin bukan salah mereka jugalah. Mereka tidak dapat menyediakan pengganti yang berwibawa. Sultan Mahmud Shah misalnya Sultan yang melingkupkan empayar Melaka dan Sultan Muhammad II ialah sultan yang menyerahkan tengkuk Terengganu untuk disembelih British sebelum baginda meletakkan jawatan secara sukarela setelah memerintah tak sampai dua tahun. Pengganti baginda, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah jauh lebih menyedihkan apatah lagi Pemberontakan Tani yang menyaksikan kemunculan Haji Abdul Rahman Limbong berlaku di zaman pemerintahan Sultan Sulaiman, sesudah kemangkatan Sultan Zainal Abidin III dan kedaulatan negeri Terengganu dicabuli.

Ada juga Raja-Raja Melayu lain sezaman Sultan Zainal Abidin III yang berwibawa seperti Sultan Abu Bakar (Johor), Sultan Ibrahim (Johor), Sultan Alaeddin Sulaiman (Selangor) tetapi saya hubungan rapat mereka dengan British membuat saya tidak gemar.

Raja-Raja Melayu zaman sekarang, entahlah. Secara jujurnya saya kecewa (ini bukan hasutan), tetapi Raja-Raja Melayu sebagai simbol agama Islam seharusnya mempunyai identiti Islam yang sangat kuat juga. Tetapi nak cari sultan yang berilmu agama ni, payah sikitlah, ini hakikat. Yang cenderung kepada agama tu adalah juga macam Sultan Muhammad V, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, tetapi masih belum kukuh imej Islamnya. Ada yang bila nak cakap pasal Islam pun kita rasa geli mendengar sebab kita kenal macam mana Sultan tu. Sepatutnya para penasihat kena mainkan perananlah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets