Pages

Pendedahan di Jabatan Kerajaan

Aku sudah banyak menulis mengenai karenah birokrasi, profesionalisma dan yang seangkatan dengannya. Kali ini aku hendak berkongsi satu lagi kisah, adaptasi dari pengalaman sebenar tapi dimodifikasi untuk penulisan entri ini. Kejadian berlaku dalam tempoh masa kurang lebih dua jam setengah.

Kisah bermula apabila Mr. A ingin membantu Mr. B, permasalahan keciciran nama untuk penempatan, walaupun Mr. B yang tercicir ini sebenarnya memang layak, namun entah di mana silapnya, masih lagi tercicir. Mr. B tinggal di selatan semenanjung, lalu Mr. A yang berada di ibu kota pergilah dengan suci hatinya ke pusat pentadbiran kerajaan untuk merujuk kepada jabatan yang berkaitan. Maka, takdir menemukan Mr. A dengan Encik Pegawai, seorang penjawat awam yang mungkin berstatus gred 41 atau 44. Maka penjelasan dibuat oleh Mr. A kepada Encik Pegawai. Komunikasi tersebut berlaku:

Mr. A: Saya datang untuk bertanyakan status saya Mr. B, beliau keciciran, mengapa ini berlaku?
Encik Pegawai: Mana boleh, ini tuan badan sendiri kena datang periksa.

Mr. A: Tapi Mr. B sekarang berada di selatan tanahair, sukar datang ke sini. Kami patutnya melapor diri Isnin depan.
Encik Pegawai: Tak boleh, tuan badan kena datang sendiri.

Mr. A: Saya cuma ingin jumpa pegawai berkaitan penjawatan ini, ini ada dokumen...
Encik Pegawai: (terus mencelah) Tak apa, simpan je dokumen tu.  

Mr. A: Habis itu hendak buat macam mana?
Encik Pegawai: Ambil nombor ni, suruh dia telefon pegawai yang terbabit.

Mr. A: Nombor ni kami boleh dapat dari direktori laman sesawang kementerian ini.
Encik Pegawai: Telefon sahaja.

Beberapa siri perbualan berlaku, dan Mr. A beranggapan Encik Pegawai sekadar hendak mengelakkan diri, bukan ikhlas membantu. Lalu, dengan kecewa berbaur marah, Mr. A meninggalkan pejabat. Kebetulan, Mr. A dan rakan-rakan lain kerap berhubung dengan Timbalan Ketua Menteri di kementerian yang terbabit melalui Twitter (sudah tentu mengenai perihal penempatan dan penjawatan). Lalu Mr. A pun tweet Pak Timbalan Menteri. Dan tweet-tweet berikut berlaku:

Mr. A: (Menerangkan situasi dan kemelut yang dihadapi). Boleh saya jumpa.
Pak Timbalan Menteri: (dengan segera) Boleh, sila naik ke pejabat saya.

Mr. A: (Menerangkan situasi dan kemelut yang dihadapi)
Pak Timbalan Menteri: Baiklah, saya akan suruh pegawai terbabit buat tindakan segera.

Jadi, Pak Timbalan Menteri pun membuat arahan kepada pegawai yang terbabit. Namun, setelah dikaji diselidik, jawapan dari pegawai menyatakan bahawa Mr. B tidak layak atas sebab yang tidak lojik - iaitu tidak lulus suatu kriteria semasa pengajian. Kalau tidak lulus satu kriteria semasa tempoh pengajian, kenapa Mr. B boleh dapat transkrip dan seterusnya bergraduasi, dapat ijazah, boleh lulus ujian penjawatan??? Tidakkah ada kejanggalan di situ? Akhirnya, suatu keketapan dipersetujui, supaya Mr. B sendiri hadir memberi penjelasan. Aku berharap Mr. B berjaya dalam menemui jalan penyelesaian.

Berdasarkan catatan di atas, kadang-kadang ketua (atau dalam kes ini Timbalan Menteri) sesuatu organisasi itu mencuba yang terbaik untuk membantu, tetapi dikecewakan oleh para pegawai sendiri. Dan lebih malangnya, pegawai itu berlagak seolah-olah mereka sibuk sana sini, hinggakan lupa dan malas melayan rakyat marhaen. Dan ini membuatkan aku percaya kepada kata-kata Encik Murali (the legend, guardian of all pupils - budak-budak law yang chambering memang kenal) seorang kakitangan mahkamah yang kini sudah pencen - "you kalau datang tengok kami tengah duduk-duduk, terus tanya, jangan diam je, KAMI PURA-PURA SIBUK, PURA-PURA BANYAK KERJA". Dia bercakap dengan nada berseloroh, tapi ada kebenaran yang tersirat dalam kenyataan Mr. Murali - menggambarkan mentaliti umum (aku tegaskan, UMUM, tidak terpakai kepada pegawai yang berdedikasi) para penjawat awam.

Bertanya supaya tahu, berjalan biar sampai, tapi kalau yang ditanya buat-buat tak tahu, berlari kencang pun takkan sampai-sampai.

1 comment:

  1. aku sgt setuju dengan encik murali.
    dan sgt simpati dgn penjawat awam yg mmg x cool kerana hidup penuh purak-purak

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets