Aku tengah tidak berapa betul sangat ketika entri ini ditulis, tetapi masih lagi berhajat untuk menulis entri. Apa yang aku meyebabkan aku tidak betul, aku tidak mahu cerita. OK, berbalik kepada tajuk entri, aku nak berkongsi sejauh mana kesan jenama atau sesuatu brand itu meresap dalam budaya kehidupan masyarakat.
Kalau kita perasan, kadang-kadang, kita merujuk sesuatu benda itu dengan nama tertentu, tetapi sebenarnya, nama tersebut adalah jenama kepada benda tersebut (macam tak betul je ayat ni). Lebih jelas kalau kita balik kampung, dan makcik-makcik akan selalu sebut.
Contoh yang pertama, Tupperware. Tupperware ialah suatu jenama barangan dapur, tapi lazimnya kita akan merujuk tupperware kepada suatu bekas untuk mengisi makanan. Jadi, sebagai contoh, makcik-makcik akan berkata: "Oh Senah, ko ada ke tupperware lebih, aku nak isi kuih karipap ni. Sedap karipap ni, tepung dia aku uli lama, isi pun kentang import".
Contoh dua, Colgate. Colgate ialah jenama ubat gigi. Dan ubat gigi tu ada banyak jenama lain lagi, seperti Darlie, Codomo Lion dll. Ayat contoh, "Ayah nak g kedai ni, beli colgate. Dah habis colgate kat rumah ni, nak ikut ke g kedai sekali? Boleh beli coki-coki".
Contoh tiga, Ray-Ban. Ini mungkin hanya terpakai kepada orang utara. Ray-Ban ialah jenama cermin mata, dan selalunya produk Ray-Ban adalah fancy dan stylo. Tapi, kalau di utara, kesemua cermin mata adalah Ray-Ban (berdasarkan pengalaman peribadi aku la, kalau salah sila betulkan). Termasuklah cermin mata pertama aku yang agak skema itu pun, orang utara tanya kat aku "Sejak bilaa hang pakai Reben ni?". Aku dah keliru masa tu, bila pulak aku pakai reben?? Rupa-rupanya yang dimaksudkan adalah Ray-Ban@cermin mata.
Dan ada jenama lain, memang sudah berakar umbi dalam kehidupan seharian, sehingga sukar untuk jenama lain menembusi atau bersaing. Kalau kita mahukan sesuatu, terus terlintas jenama tersebut.
Contoh pertama, Milo. Milo adalah jenama minuman malt dan coklat. Sebenarnya ada lagi jenama lain, seperti Ovaltine dan Oligo. Kalau hendak mahal sikit, Cadbury pun ada produk hot chocolate sendiri. Dulu masa kecil, aku suka ovaltine bukan apa, sebab dapat mainan percuma, contohnya lori mainan, pembaris dan flask warna-warni. Tapi, punyalah terkesannya jenama Milo ni, susah nak dapat Ovaltine, Oligo pun jarang ada di kedai-kedai runcit. Sehinggakan, bila pergi kedai makan, yang kita order ialah "milo ais" bukannya "ovaltine ais".
Contoh kedua, Nescafe. Ini jenama kopi. Ada jenama lain seperti Indocafe, Kopi Kapal Api, dan Kopi Che Nah (yang ni kalau tidak silap kilangnya terletak di Daerah Hilir Perak???). Tapi, Kopi Kapal Api dan Kopi Che Nah ni kopi campuran, ada bahan-bahan lain dan rasanya lebih pekat dan pahit. Ayah aku cakap dulu, ada pengilang kopi sanggup mencampurkan candu agar produk mereka disukai ramai. Berbalik pada Nescafe, sepertimana Milo tadi, kita akan order "nescafe panas" bukannya "indocafe panas".
Kemudian, Maggi. Maggi ialah jenama produk-produk makanan, terdiri dari mi segera, perencah dan perasa serta pelbagai sos. Namun, sinonimnya Maggi ini dengan mi segera, terutamanya kepada pelajar-pelajar asrama. Wajib ada Maggi, padahal yang dibeli ialah jenama Cintan, Ruski, dan Indo Mee. Aku rasa hujung minggu ni pun aku kena tambah stok megi untuk rumah aku. Sebab kita orang pandai masak megi goreng. Sedap dan berkhasiat.
Sepertimana yang berlaku kepada gelaran "teh arab". Pada yang tidak tahu, teh arab ialah teh yang diletakkan pudina sebagai penambah rasa. Kakak aku cakap rasanya macam minum Colgate, minty. Hakikatnya, guna teh Boh atau Lipton, kemudian campur dengan daun pudina dan gula. Tidak ada unsur-unsur arab di situ. Tapi nama tetap teh arab. Bagi aku lebih sesuai digelar teh pudina. Mungkin dinisbahkan "teh arab" tu sebab orang Arab suka minum. Tapi aku peduli apa.
Itu sahaja. Lepas ni kalau berani dan ingin mencuba, kalau berkunjung ke kedai mamak, sila order Kopi Kapal Api tarik, agak-agak ada tak?
Kalau ada penambahan sila tinggalkan komen anda. Terima kasih.
Sekian.
0 comments:
Post a Comment