Pages

Menjelang PRU-13 (2) - Wangsa Maju

Baik, edisi kedua ulasan amatur aku ialah kawasan tempat aku mengundi sendiri iaitu parlimen Wangsa Maju. Parlimen ini merupakan kubu kuat UMNO sejak sekian lama lah. Kemudian berlaku persempadan semula pada PRU 2004 yang menyaksikan sebahagian daripada parlimen Wangsa Maju telah dijadikan parlimen Setiawangsa dan ahli parlimen Wangsa Maju waktu tu (Zulhasnan Rafique) telah berpindah ke Setiawangsa. Sejak itu parlimen Wangsa Maju diserahkan kepada MCA dan wakil rakyat MCA sempat jadi YB selama sepenggal sebelum dilibas oleh Wee Choo Keong pada PRU 2008.

Baik, banyak benda yang boleh diulas mengenai parlimen tempat aku mengundi ni, dari pelbagai aspek. Wee Choo Keong sahaja merupakan seorang tokoh politik yang agak kontroversi kerana asyik berubah parti. Perpindahannya ke Wangsa Maju adalah aturan Anwar Ibrahim dek kerana PKR tidak ada calon di situ dan kerana tempat 'asal'nya di Bukit Bintang tu adalah kawasan DAP. Asalnya Wee adalah ahli DAP tapi dek kerana krisis dalaman parti, dia keluar DAP dan menubuhkan MDP. MDP pernah bertanding pada PRU 1999 di beberapa kerusi, termasuklah Wee yang bertanding 3 penjuru di Bukit Bintang - kesudahan yang menyaksikan Wee dapat undi yang sangat memalukan, ratusan sahaja, bahkan ada calon MDP di kerusi lain yang dapat puluhan undi sahaja. Dalam erti kata lain, MDP memang parti yang lemau dan langsung takde sokongan rakyat. Namun begitu, Wee tetap popular kerana isu video klip V.K Lingam yang mengaitkan kes beliau secara langsung (kes petisyen pilihanraya Bukit Bintang 1995) yang menyaksikan hakim pada waktu itu, Tun Ahmad Fairuz memberi kemenangan percuma kepada calon MCA yang kalah dengan majoriti besar di tangan Wee yang menjadi calon DAP pada waktu. Waktu kes Lingam timbul pada 2007, Wee mewakili adik Lingam yang menjadi saksi ke atas Lingam. Dek kerana populariti kes Lingam itu, nama Wee timbul semula dan secara kebetulan PRU 2008 berlangsung tak lama selepas itu.

Sebagai pengundi di Wangsa Maju, secara jujurnya tidak ada isu-isu kritikal yang ada di Wangsa Maju. Kebetulan kawasan ni dijaga dengan baik oleh Zulhasnan Rafique (1999 - 2004) yang merupakan orang Pak Lah. Pendek kata kalau nak kata tu, memang tak logik kalau Wee Choo Keong boleh menang dengan majoriti 150 undi di Wangsa Maju pada PRU 2008.

Jadi apa sebenarnya yang telah berlaku?

Semuanya bermula apabila pada PRU 2004 kerusi Wangsa Maju diserahkan kepada MCA. Dan dengan populariti Pak Lah pada waktu itu, sungguh pun majoriti pengundi Wangsa Maju merupakan orang Melayu, para pengundi tetap memberi undi kepada MCA walaupun calon PKR pada waktu itu ialah Ir. Sahri Bahri. Dan Sahri Bahri kalah teruk dengan majoriti lebih 10,000 undi pada waktu itu.

Dek kerana majoriti yang selesa itulah pada PRU 2008 MCA dengan lagak sombong berdepan dengan Wee Choo Keong secara solo tanpa melibatkan UMNO. UMNO pulak dah dasar orang tak sedar diri, kau tak nak mintak tolong, aku pun tak hingin nak tolong. Dan taktik bodoh sombong itu membawa padah apabila MCA kalah mengejut di tangan Wee Choo Keong. Calon MCA tu pulak bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan, so ada nama jugaklah calon ni.

Sebenarnya PKR kat Wangsa Maju ni tenggelam timbul je. Lebih-lebih lagi sesudah Wee Choo Keong keluar PKR, aku tak tau siapa yang lead PKR Wangsa Maju. Mula-mula Dato' Zaid Ibrahim masuk PKR dulu, seolah-olah dia yang akan take over Wangsa Maju ni sebab banner muka dia bersepah kat sini, ni sebelum PRK Hulu Selangor la. Bila dia kalah kat Hulu Selangor, dengan dia-dia sekali bersepai keluar PKR beberapa bulan selepas tu. Kemudian timbul pulak Dato' Dr. Tan Kee Kwong, bekas Timbalan Menteri dan ahli parlimen Segambut yang dulunya dari Gerakan. Nampak gayanya kalau PRU ke-13 nanti ni, Tan Kee Kwong yang akan jadi calon PKR di Wangsa Maju.

Siapakah calon BN di Wangsa Maju nanti?

Aku tak nampak lagi sebab antara UMNO dan MCA, masing-masing nak menunjuk yang dia buat kerja. Misalnya MCA, lepas kalah, pusat khidmat dia bukan nama MCA lagi, tapi nama pusat khidmat rakyat Yew Teong Look, tak ke syok sendiri tu? Maknanya Yew Teong Look ni masih nak jadi calon lagi.

Tapi kalau based on winnable candidate, UMNO akan desak habis-habisan supaya Wangsa Maju dipulangkan semula kepada mereka. Kebetulan ketua UMNO Wangsa Maju ialah setiausaha politik Perdana Menteri dan muka dialah sekarang yang bersepah di banner-banner sekitar Wangsa Maju. Dan base UMNO lebih kuat kat sini.

Kalau UMNO (setiausaha politik Najib) lawan PKR (calon Cina) pada PRU 13 nanti, aku rasa sengit jugak saingannya. Aku tak rasa pengundi Cina akan undi BN, tapi pengundi Melayu kebanyakannya akan undi BN semula. Boleh jadi BN akan menang dengan majoriti sekitar 2, 3 ribu. Tapi at the heat of moment masa berkempen nanti, boleh jadi PKR akan menang tipis, kesan tempias kempen Anwar Ibrahim yang akan menjalar di Ampang, Gombak dan Batu (kita boleh kata semua ni kubu Pakatan Rakyat sekarang), kesemua berjiran dengan parlimen Wangsa Maju. Maknanya dengan 80% undi Cina dan 40% undi Melayu, PKR masih boleh menang di Wangsa Maju.

Aku undi siapa? Haha, aku membawa gagasan ABU.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets