Pages

Menjelang PRU-13 (1): Gombak Setia

Buat julung-julung kalinya sempena PRU-13, mulai entri ini, aku akan memuatkan siri analisis amatur aku mengenai kedudukan kerusi-kerusi pilihanraya tertentu yang menarik perhatian. Misalnya, kali ini aku akan fokuskan mengenai Dun Gombak Setia dan parlimen Gombak secara umumnya. Aku hanya memberi pandang berkenaan kerusi-kerusi yang dekat dengan aku jelah, misalnya Wangsa Maju, Batu, Setiawangsa, Titiwangsa, Ampang - kerusi yang dekat di mata dan boleh dipantau 'suhu'nya. Aku bukanlah tok nujum yang boleh mengagak keputusan pilihanraya, tapi aku boleh utarakan isu-isu setempat yang boleh mempengaruhi pola pengundian pada PRU-13 akan datang.


Baiklah, cukup dengan mukaddimah ringkas itu. Kembali kepada Dun Gombak Setia.


Dun Gombak Setia merupakan kerusi panas kerana kerusi ini dianggap "kubu" Pas sejak PRU 1999. Nak kata kubu sangat tu, tidaklah. Tapi pada PRU 1999, ketika Pas memenangi 4 kerusi Dun di Selangor, kerusi Gombak Setia mencatat majoriti tertinggi kemenangan Pas dengan majoriti 900 undi (eleh, sikit je sebenarnya), berbanding 3 kerusi lain yang jauh lebih kecil majoriti kemenangannya - Sungai Besar (150 undi), Sungai Burung (90 undi) dan Kajang (30 undi).


Dun Gombak Setia merupakan kawasan semi urban yang mempunyai lokaliti bercampur, ada orang kampung, orang asli dan ada orang bijak pandai (sebab ada UIAM, UniKL, IIC, IIS dan institusi pendidikan yang lain di sini).


Dun Gombak Setia juga hampir dengan Markas Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar walaupun Markas itu sendiri terletak di bawah parlimen Batu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini adalah faktor pendorong Pas mendapat sokongan kuat daripada penduduk sekitar kerana ceramah Pas sering diadakan di situ (tapi kini tidak lagi).


Pas tumbang di Gombak Setia pada PRU 2004 kerana faktor Pak Lah dan undi yang diterima oleh Dato' Ismail Kamus juga merosot sekitar 2000 undi. Takpelah, itu cerita lama.


Sebenarnya pada menjelang PRU 2008, aku tertunggu-tunggu siapakah yang menjadi calon Pas bagi kerusi itu. Dan alangkah ralatnya (ceh, ralat) apabila aku mengetahui akhirnya Hasan Ali yang menjadi calon Pas. Aku dikhabarkan pelantikan itu ditunjuk sendiri oleh Yang Dipertua Pas kawasan Gombak, Ustaz Salehuddin Nasir. Yang aku tak berkenan tu sebab langkah Hasan Ali bertanding di Gombak Setia tu, pada penilaian aku, ialah langkah cabut lari dan cari tempat selamat setelah kalah di kampung sendiri (Sungai Burung). Dan adalah tak manis apabila seorang pemimpin politik kalah di kampung sendiri tapi boleh bertanding di kawasan lain dalam negeri yang sama untuk menang. Sebab pemimpin kena ada base yang kuat di kampung sendiri. Kalau orang kampung sendiri tolak dia, macam mana dia nak mengadap orang kampung lain dalam negeri yang sama? Takpelah, ini taklah terlalu penting pun.


Akhirnya Hasan Ali menang jugaklah. Ada satu ucapan awal kemenangannya sangat menjengkelkan dan sejak dari itu aku terus pangkah dia. Walaupun niatnya betul, tapi apabila audiensnya kebanyakannya orang kampung dan golongan pertengahan, ini sangat menggelikan. Aku tak lupa bila dia sebut "Tuan tuan saya nak mintak tolooooonglah, kalau ada longkang tersumbat, sampah tak angkat, jalan berlubang, tolonglah tuan tuan tolonglah tolooooooong, janganlah jumpa saya. Sebab saya sekarang ni siiiiiiiiiiiiiiibuk, sibuk sangat sangat. Sultan nak jumpa, Mufti nak jumpa, MB nak jumpa...".


HEK ELEH! Baru jadi Exco tu! Tu pun ada hati nak jadi MB ke? Memanglah dari segi prinsipnya wakil rakyat bukanlah pegawai kebajikan masyarakat tapi kau tak boleh expect orang kebanyakan akan faham mengenai situasi ni. Baru jadi Exco dah berani kata "benda remeh-temeh janganlah jumpa saya". Mungkin bagi kau longkang tersumbat bukan masalah besar tapi bagi sesetengah orang ianya cukup besar sebab longkang tersumbat boleh memusnahkan harta-benda kalau berlaku banjir kilat!


Lepas-lepas tu aku dah malas nak ambil tahu pasal Hasan Ali. Aku perhatikan setahun dua selepas kemenangan tu, adalah muka dia di sana-sini sekitar Gombak Setia. Pergi masjid, pergi pasar malam, hulurkan bantuan dan sumbangan. Tapi entahlah, sejak tahun lepas, atau secara spesifik sejak tak jadi Pesuruhjaya Pas Selangor ni, senyap je dia. Turun kawasan pun senyap-senyap, baca khutbah pun senyap-senyap. Tak geger macam dulu. Kalau tak setahun dua pertama tu aktif jugaklah. Tambah lepas kes JAIS serbu gereja tu, memang dah sayup-sayup jelah Hasan Ali kat Gombak Setia.

Secara peribadi, aku rasa Hasan Ali tak payah dahlah bertanding kat Gombak Setia, bukan sebab ahli Pas suka dia ke tak, tapi dia tu boleh menang ke tak belum tentu lagi. Hasan Ali dah takde puller untuk orang undi dia dan Pas. Pas kena cari somebody yang ada puller tu. Antara nama yang aku dengar termasuklah Dr. Aziz Bari. Beliau memang sesuai, TAPI nak bernafas dalam Dewan Negeri Selangor, susah sikitlah sebab istana kontrol banyak benda. Nak jadi Exco pun kena dapat perkenan Sultan Selangor, nak jadi Speaker Dun pun kena communicate dengan Sultan Selangor. Sebenarnya kalau juak-juak Sultan tak cucuk Sultan, aku rasa takdelah hubungan Dr. Aziz Bari dan istana jadi setegang sekarang. Juak-juak tu yang jahat. So baik letak Dr. Aziz Bari kat parlimenlah. Habis kalau bukan Aziz Bari, siapa? Terpulanglah kepada kepimpinan Pas. Bagi aku, Dun Gombak Setia ialah kawasan yang boleh dipertahankan oleh Pas pada PRU-13 nanti, Dun ni jadi benchmark. Dan calonnya hendaklah heavyweight juga.

Adapun kawasan lain seperti Hulu Kelang dan Batu Caves, momentumnya pun masih mesra Pakatan Rakyat. Kawasan Hulu Kelang lebih ramai golongan intelek dan terdapat sejumlah besar pengundi Tionghua di Kuala Ampang, rasanya mereka ni tak berganjak daripada menyokong Pak Abu @ Saari Sungib. Ini aku perasan program-program dia memang banyak. Batu Caves aku tak berapa mahir sangat sebab tak selalu 'berlegar-legar' kat situ.

Di peringkat parlimen, dah tentulah Azmin Ali akan bertahan kat situ. Rasanya dia masih boleh mempertahankan kemenangan dia, lebih-lebih lagi dia sekarang Timbalan Presiden PKR, cuma berapa majoriti tu, terpulanglah. Majoriti yang dia dapat tu taklah selesa sangat, sekitar 6 ribu undi, nampak macam besar, tapi kalau tengok jumlah undi yang PKR dapat - 40 ribu, BN dapat 33 ribu. 33 ribu tu banyak oit, masih ramai yang sokong BN.

Begitulah adanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets