Pages

National Feedlot Centre (NFC): Persoalan dan Isu Berbangkit (Bahagian I)

Ramai yang maklum akan perihal "skandal" NFC. Umumnya, skandal bermula setelah Laporan Ketua Audit Negara 2010 (LKAN), mendedahkan, antara lainnya, prestasi pencapaian projek, prestasi kewangan serta pengurusan projek yang ditahap kurang memuaskan. Di hujung laporan Jabatan Audit Negara telah membuat beberapa pengesyoran untuk memastikan projek berjalan dengan lebih lancar, sistematik dan memberi pulangan optima bagi mencapai tujuan asal NFC.

Gambar ihsan Google.


Rentetan LKAN terbebut, timbul pendedahan dari PKR - diketuai oleh Pengarah Strategik PKR, saudara Mohd Rafizi Ramli - bahawa projek NFC telah diberikan kepada syarikat yang berkaitan dengan keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil. Seterusnya keluarga Shahrizat dikatakan telah menyalahguna jutaan ringgit dana kerajaan persekutuan yang diperuntukkan kepada NFC untuk tujuan perbelanjaan peribadi. Antara lainnya, pembelian unit-unit kondominium mewah di Bangsar dan Singapura, pembelian kereta mewah serta untuk melangsaikan pembayaran penggunaan kad kredit.

Siasatan telah dijalankan oleh PDRM berhubungkait skandal NFC, barangkali atas Seksyen 409 Kanun Keseksaan (criminal breach of trust). Kita juga mendengar bahawa Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk memulangkan kertas siasatan kepada PDRM supaya pihak PDRM meneruskan siasatan dan membuat perincian lanjut. Ada yang bertanya, kenapa bukan SPRM yang menjalankan siasatan. Maka jawapan SPRM ialah setelah mendapat aduan dari NGO, siasatan awal menunjukkan aduan tersebut tidak ada unsur rasuah tapi lebih kepada jenayah di bawah Kanun Keseksaaan, maka jatuh kepada bidangkuasa PDRM. Zaman sekarang, bila sebut sahaja skandal, maka cepat rakyat melompat menjerit "rasuah", "salahguna kuasa" dan yang seangkatan. Penulis tidak salahkan mereka yang tersenarai dalam kategori laymen ini, kerana itu jadi tanggungjawab mereka yang ada latarbelakang undang-undang untuk menjelaskan. Samalah macam kes Khir Toyo, dari segi teknikal, tidak ada unsur rasuah pun, Tamar Jeles sudah terangkan di SINI.

Pihak kerajaan juga telah mengambil inisiatif melantik firma perunding untuk menjalankan proses audit terhadap NFC. Kata Timbalan Perdana Menteri, untuk melindungi kepentingan kerajaan.

Sehingga ke hari ini ada dua kes mahkamah berkaitan isu NFC. Pertama, Shahrizat sendiri memulakan tindakan saman fitnah dan menuntut gantirugi sebanyak RM100 ribu ke atas Rafizi dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin. Antara sebab tuntutan ialah (i) atas tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas diri beliau yang mengaitkan beliau dengan NFC, walhal Sharizat tidak ada pegangan langsung dalam mana-mana syarikat berkaitan NFC dan (ii) kenyataan-kenyataan dari Rafizi dan Zuraida menunjukkan bahawa Sharizat telah salahguna kuasa dan mempengaruhi kerajaan untuk menganugerahkan projek NFC kepada syarikat milik keluarga beliau.

Strategi saman fitnah dalam permainan politik memang popular, dan ada kalanya berkesan. Penulis yakin, kalau tuntutan di buat dengan sempurna dan betul atas fakta, maka orang yang menuntut memang boleh menang. Ambil situasi ini: Shahrizat memang tidak ada pegangan secara langsung dalam NFC atau apa-apa syarikat berkaitan NFC, tetapi sesetengah pihak mengeluarkan kenyataan bahawa Shahrizat terlibat secara langsung, maka itu pada dasarnya suatu fitnah. Tapi persoalan sekarang, apakah bukti-bukti yang akan dikemukakan oleh Shahrizat untuk menunjukkan defendan telah buat kenyataan berbentuk fitnah dan seterusnya mencemar reputasi beliau atau memberi impak negatif terhadap peribadi beliau? Ini sudah menjadi permainan dan strategi perundangan. Soal pembuktian dan beban pembuktian.    

Kedua, seorang individu (Datuk Shamsubahrain Ismail) telah dituduh dengan 2 pertuduhan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (cheating and dishonestly inducing delivery of property). Tuduhan tersebut bukanlah berkaitan bahawa Shamsubahrain telah seleweng dana NFC. Bukan juga tuduhan bahawa Shamsubahrain mengamalkan rasuah. Secara mudahnya, pertuduhan tersebut dibuat kerana Shamsubahrain dengan curangnya telah mendorong Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail untuk memberikan beliau wang berjumlah RM1.76 juta sebagai bayaran rundingan dan perkhimatan penasihat, walhal duit tersebut digunakan untuk cubaan merasuah pegawai penyiasat PDRM berkaitan skandal NFC. Mohamad Salleh merupakan suami Sharizat, merangkap [Pengerusi NFC] (dalam square bracket kerana penjelasan akan dibuat mengenai beza NFC dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd).

Jadi jangan meloncat kegembiraan bila dengar seseorang telah dihadapkan ke mahkamah. Jangan kata bahawa Sharizat dan keluarganya bebas dari skandal NFC. Kes ini sedikit pun tidak memberi penjelasan kepada skandal NFC. Malahan, ada suara-suara mengatakan, betul ke Mohamad Salleh ini tertipu, atau sebenarnya memang Mohamad Salleh sendiri yang memberi wang kepada Shamsubahrain untuk rasuah pegawai penyiasat untuk tutup siasatan ke atas NFC. Itu kita tunggu dan lihat.

Kemudian, baru-baru ini kita terbaca bahawa Mohamad Salleh mengatakan bahawa LKAN telah terkeliru dan tersilap beza entiti antara NFC dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp). Bahawa yang dimaksudkan dalam LKAN adalah NFC bukannya NFCorp, kesilapan sebab juruaudit keliru antara keduanya.

Terpanggil dek seruan tersebut, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pun membuat kenyataan akhbar memberi penjelasan. Antara lainnya, dijelaskan bahawa NFC dan NFCorp adalah entiti berbeza. NFCorp ialah badan koporat, kerjasama antara Kementerian Kewangan Diperbadankan dan Agroscience Industries Sdn Bhd. Tidak dijelaskan apa itu NFC, jadi selamat kalau penulis katakan NFC hanyalah nama projek bukannya apa-apa entiti. Kenyataan akhbar juga menjelaskan bahawa "analisis audit mendapati objektif projek PFN (NFC) masih belum dicapai sepenuhnya" dan "tidak ada pun disebut perkataan-perkataan seperti kucar kacir, 'in a mess' atau pun penyelewengan".

Jika dilihat pada bahagian LKAN berhubung dengan NFC, memang betullah tidak ada sebutir pun perkataan kucar-kacir, penyelewengan atau yang seangkatan merujuk kepada NFC. Dan memang tajuk audit tersebut merujuk kepada NFC, bukan NFCorp. Tapi disebutkan bahawa NFCorp merupakan integrator "yang akan menaungi usahawan fidlot secara kontrak di kawasan ladang yang sama atau sekitarnya dengan membekalkan input utama seperti makanan ternakan dan anak lembu". Disebutkan juaga bahawa "sehingga 31 Disember 2010, NFCorp masih belum melaksanakan EDP (Entrepreneur Development Programme). Selain itu, draf SOP (Standard Operating Procedure) yang disediakan oleh NFCorp masih belum dimuktamadkan...". Laporan berkaitan infrastruktur menyatakan "pembinaan infrastruktur pengairan yang kemudiannya tidak digunakan oleh NFCorp merupakan pembaziran kepada Kerajaan". LKAN juga "mendapati beberapa infrastruktur tidak disenggarakan dengan memuaskan oleh NFCorp".

Ya, memang penulis cherry picking dan sengaja memetik bahagian yang menyentuh NFCorp. Ini untuk membuktikan bahawa, dengan mengaudit NFC, secara tidak langsung NFCorp juga teraudit. Lantaran itu, entiti bernama NFCorp akan terus di bawah mikroskop mata-mata rakyat prihatin kerana NFCorp merupakan pelaksana utama projek NFC. Malahan, di akhir audit, LKAN menyesyorkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya "Meningkatkan pemantauan supaya NFCorp menyempurnakan obligasinya seperti yang ditetapkan dalam perjanjian pelaksanaan. Antara lainnya, NFCorp perlu melaksanakan program bagi melahirkan 130 pengusaha ladang satelit dan menjalankan penyelenggaraan terhadap infrastuktur yang dibina Kerajaan".

Adakah dengan penjelasan dari ketua Audit Negara maka isu NFC selesai dan mereka yang dikaitkan boleh cuci tangan? TIDAK. Tidak perlulah NFCorp berterima kasih pada Tan Sri Ambrin untuk kenyataan akhbar tersebut. Hakikatnya, LKAN telah menjadi titik permulaan untuk beberapa isu berbangkit: kenapa mesti syarikat milik keluarga Sharizat? apa entiti yang bertanggungjawab sepenuhnya atas pelaksanaan NFC? kenapa objektif NFC tidak tercapai?... Yang merupakan entiti korporat adalah NFCorp. Yang diberi pinjaman mudah (soft loan) adalah NFCorp. Bukan NFC.

Ini bukan soal Rafizi fitnah, bukan soal NFC yang gagal, bukan soal NFCorp berjaya, bukan soal siapa silap audit siapa dedah skandal dan bukan soal lembu masuk kondo. Ada isu lebih besar. Ini sudah jadi soal integriti dalam urustadbir dana kerajaan, soal tatacara melaksanakan kontrak, soal ketelusan.

Banyak lagi persoalan dan kemusykilan yang timbul. Pencerahan mengenai pihak-pihak yang terbabit dan struktur NFC akan dibuat dalam Bahagian II, kalau diizinkan.

Sekian buat masa ini.

1 comment:

  1. 1st..saya masa main Arsenal dulu x penah skor gol 1st..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apesal Widgets